fbpx

K2

Bapa menangis dalam hati siapa tahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG bapa tidak pernah mengeluh biarpun dibahunya terpikul seribu bebanan demi untuk membahagiakan keluarga. – GAMBAR HIASAN

Oleh PROF. MADYA DR. MOHAMMAD NAJIB JAFFAR

HARI Ahad pada minggu ketiga bulan Jun setiap tahun perlu tersemat di minda setiap anak-anak kerana pada tarikh keramat tersebut merupakan Hari Bapa.

Pada tahun ini, sambutan untuk menghargai jasa ketua keluarga itu jatuh pada 20 Jun.

Seperti yang kita sedia maklum, sambutan Hari Ibu sebenarnya lebih dekat di hati anak-anak yang mana Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun merupakan detik ditunggu-tunggu mereka.

Namun, sambutan Hari Bapa kurang dirasai walaupun pengorbanan mereka ibarat ‘lilin membakar diri, menerangi orang lain’ demi mencari sesuap nasi untuk keluarga tercinta.

Terasa janggal jika kedengaran ada acara memotong kek, memberikan hadiah berharga, menjamu santapan enak di restoran terkenal mahupun membawa bapa menunaikan umrah dan sebagainya sempena sambutan Hari Bapa.

Jika disoroti sejarah, sambutan Hari Bapa buat pertama kali dianjurkan oleh seorang paderi wanita bernama Grace Golden Clayton kerana ingin memperingati 210 lelaki yang hilang dalam bencana letupan lombong arang batu di pekan Monongah, West Virginia, Amerika Syarikat (AS) pada 6 Disember 1907.

Usaha dua orang presiden AS untuk mengisytihar Hari Bapa sebagai hari rasmi negara pula tidak diluluskan oleh Kongres.

Presiden Woodrow Wilson berhasrat untuk berkunjung ke bandar Spokane, Washington untuk berucap sempena sambutan Hari Bapa pada tahun 1916, tetapi pihak Kongres menolaknya kerana dibimbangi hari tersebut dianggap cuti umum oleh masyarakat di negara Uncle Sam itu.

Begitu juga Calvin Coolidge, Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1924 telah menyarankan kepada awam untuk menyambut Hari Bapa secara tidak rasmi, namun beliau tidak mengeluarkan sebarang proklamasi kebangsaan mengenainya.

Bagaimanapun, pada tahun 1966, Lyndon B. Johnson mengeluarkan proklamasi presiden pertama yang mengisytiharkan pengorbanan kaum bapa dan ia menyatakan bahawa sambutan Hari Bapa diisytiharkan pada setiap Ahad, minggu ketiga bulan Jun setiap tahun.

Seorang bapa secara dasarnya tidaklah mengharapkan sambutan meriah untuknya tatkala tiba Hari Bapa.

Ini kerana, mereka menyedari usaha mencari nafkah, menyediakan keperluan pendidikan terbaik, memastikan tempat berteduh dilengkapi dengan kelengkapan rumah dan memberikan tarbiyah kerohanian merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Ungkapan tular yang kerap didengari iaitu ‘beras kita beli’ kelihatan bersahaja, tetapi sarat dengan mesej tentang tanggungjawab besar dipikul bapa.
Kebiasaannya keperluan keluarga lebih diutamakan berbanding diri sendiri tanpa mengharapkan balasan.

Selain itu, seperti kelazimannya anak-anak lebih mudah untuk mengucapkan lafaz keramat cinta dan sayang kepada ibu berbanding bapa atas faktor keibuan yang lebih lemah-lembut dan kaya dengan kasih sayang.

ANAK yang baik sentiasa mengambil peluang untuk bersama ibu atau bapa apabila ada masa terluang demi membalas pengorbanan yang dicurahkan selama ini. – GAMBAR HIASAN

Hakikatnya, insan bergelar bapa sebenarnya lebih gemar mendengar dan kurang menzahirkan perasaan sayang secara lisan, namun disebabkan bergelar pendengar setia dan ketua keluarga, segala masalah peribadi mahupun kewangan anak-anak mampu diselesaikan dengan baik.

Karakter tegas yang sinonim dengan bapa mungkin menjadikan anak-anak agak ‘berat mulut’ untuk menyebut ‘saya sayang bapa’ secara semula jadi.
Bagaimanapun, setiap hari sebenarnya merupakan Hari Bapa kerana Islam sangat menitikberatkan tugas memuliakan ibu bapa sebagaimana mafhum ayat al-Quran: “Dan
Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.

“Jika salah seorang mereka atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku, kasihilah mereka kedua-duanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil’.” (Surah Al-Isra’: 23-24).

Oleh yang demikian, setiap keringat yang membasahi pipi si bapa ketika mencari sesuap nasi perlu dihargai dan disanjung tanpa prejudis.

Dalam pada itu, bapa diberi penghormatan tinggi oleh Allah, diberikan adab-adab untuk memuliakan pangkatnya sebagai seorang ketua rumah tangga.

Oleh yang demikian, tanggungjawab yang digalas di bahu bapa untuk mencegah ahli keluarganya daripada dijilat api neraka sangatlah besar dan berat untuk dipikul.

Ini kerana, setiap nasi yang disuap ke mulut isteri dan anak-anak, setiap air yang diteguk oleh ahli keluarga, setiap lembar benang pakaian yang menutupi anggota badan mereka mestilah daripada sumber halal dan mengikut syarak.

Jika diambil dan diperoleh daripada sumber haram, maka ia akan menjadi bahan bakar api neraka di hari akhirat kelak.

———————————————————————————
DR. MOHAMMAD NAJIB JAFFAR ialah Prof. Madya di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI