fbpx
Alat tersebut menggunakan magnet yang dilekat pada gigi gigi. – Universiti Otago

Penyelidik cipta alat turunkan berat badan pertama di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNEDIN, NEW ZEALAND – Sekumpulan penyelidik dari New Zealand mencipta sejenis alat menurunkan berat badan dengan mengunci rahang pemakai daripada terbuka luas sekali gus menahan diri daripada makan dalam kuantiti yang banyak, lapor akhbar The Sun semalam.

Digelar sebagai ‘alat menurunkan berat badan pertama di dunia’ peranti menggunakan magnet itu menghalang mulut daripada terbuka melebihi 2 milimeter.

Menurut perekanya, alat tersebut dapat mengehadkan amalan pemakanan kepada diet berasaskan cecair.

Bagaimanapun, pemakai masih boleh bercakap dan bernafas dengan normal selain terdapat fungsi keselamatan yang membolehkan alat tersebut dicabut jika berlakunya serangan panik atau tercekik.

Menurut Pro-Naib Canselor Sains Kesihatan Universiti Otago merangkap ketua penyelidik, Profesor Paul Brunton, alat itu adalah selamat digunakan untuk membantu mencegah obesiti.

“Alat tersebut akan dimasukkan di sekeliling gigi oleh doktor gigi dan ia merupakan alternatif kepada  prosedur pembedahan yang tidak invasif, boleh dicabut, menjimatkan dan menarik.

“Tidak ada kesan buruk jika memakai alat ini,” katanya.

Menurut penerbitan British Dental Journal, enam responden yang mengambil bahagian dalam ujian pemakaian alat tersebut menunjukkan mereka hilang berat badan secara purata 6.36 kilogram dalam masa dua minggu.

Dalam pada itu, alat tersebut mencetuskan kontroversi di internet selepas ramai pengguna berpendapat ia tidak sesuai untuk digunakan.

“Saya rasa ia agak teruk dan menjatuhkan maruah,” tulis seorang pengguna di Twitter.

“Masalah kami, golongan berbadan gempal ini adalah kami tidak boleh menutup mulut kami (daripada untuk terus makan),” tulis seorang lagi pengguna. – AGENSI

POPULAR