fbpx

Low tahu taktikal England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BENTENG Jerman perlu berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk mengekang asakan England yang mungkin turun dengan taktikal menyerang habis-habisan. – AFP

LONDON – Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low percaya aksi pusingan 16 terbaik Euro 2020 menentang England di Stadium Wembley tengah malam ini akan menjadi satu permainan terbuka.

Skuad Die Mannschaft itu hampir tersingkir di peringkat kumpulan sebelum ini, namun diselamatkan oleh gol pe­nyamaan Leon Goretzka ketika seri 2-2 menentang Hungary pada aksi terakhir Kumpulan F.

Bagaimanapun, Low berkata, beliau yakin perlawanan menentang England bakal menyajikan aksi berbeza memandangkan The Three Lions dijangka menggunakan taktik menyerang kerana beraksi di laman sendiri.

“Saya tidak bimbang dengan kemampuan pasukan kerana pertemuan menentang England berbeza berbanding ketika bertemu Hungary. Saya yakin England akan menyerang dari awal permainan.

“Mereka akan turun di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong-penyokong setia, jadi tidak mungkin England akan bermain secara bertahan. Justeru, kami perlu berjaga-jaga dengan serangan mereka nanti,” kata Low.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa barisan pemainnya supaya tidak mengulangi kesilapan sama ketika bertemu Hungary kerana ia mungkin meleburkan hasrat mereka untuk melangkah ke suku akhir.

Low juga sedar prestasi juara Piala Dunia 2014 itu agak terumbang-ambing pada kempen kali ini dan beliau berharap pemain-pemainnya menunjukkan pe­ningkatan ketika bertemu England nanti.

“Kami perlu berhati-hati, terutamanya ketika berdepan situasi bola mati kerana mereka sangat berbahaya.

“Kami akan cuba tampilkan aksi sama se­perti ketika menewaskan Portugal sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, pemain tengah Jerman, Kai Havertz menyatakan dia sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas misi penting menentang England selain menganggap aksi di Wembley sangat istimewa.

“Sudah tentu perlawanan itu sangat istimewa untuk saya ke­rana pernah beraksi di Wembley sebelum ini. Ia satu perlawanan besar dan kami akan cuba yang terbaik untuk pastikan kemenangan menjadi milik Jerman.

“Saya juga bersedia untuk mengambil tanggungjawab sekiranya perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti. Bagaimanapun, saya harap kami boleh tamatkan perlawanan lebih awal,” kata Havertz. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI