fbpx

‘Jaga ibu, adik-adik dengan baik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan Nur Farah Atikah dan anak-anaknya bersama Mohd. Asraf (kiri) yang ditemui lemas ketika mahu menyelamatkan seorang kanak-kanak di Pasir Gudang kelmarin.

JOHOR BAHRU – Seorang bapa seakan-akan mengetahui mengenai pemergiannya apabila kerap berpesan kepada anak sulungnya supaya menjaga ibu dan adik beradiknya yang lain dengan baik.

Mohd. Asraf Mohd. Hisham Tan, 32, menitipkan pesanan itu kepada anak lelakinya yang berusia lima tahun.

Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan maut ketika mahu menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terjatuh ke dalam longkang berhampiran Masjid Taman Cendana, Pasir Gudang di sini kelmarin.

Nur Farah Atikah Mohd. Hassan, 27, berkata, suaminya turut berpesan kepadanya supaya menjaga empat anak mereka berusia empat bulan hingga lima tahun dengan baik sekiranya dia dijemput Ilahi terlebih dahulu.

“Pesanan itu dititipkan arwah seminggu sebelum kejadian yang meragut nyawanya.

“Malah, dia juga selalu cakap pada anak sulung kami supaya jaga baik ibu dan adik-adik jika ayah tidak ada nanti,”katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

MOHD. JOHAN

Bercerita lanjut, Nur Farah berkata, ketika kejadian dia sekeluarga baru sahaja tiba di kawasan parkir rumah pangsa Taman Cendana sebelum didatangi seorang lelaki dewasa meminta bantuan menyelamatkan kanak-kanak yang terjatuh ke dalam longkang.

Jelasnya, suaminya tanpa berlengah meninggalkan dompet dan telefon bimbit untuk menyelamatkan mangsa bersama lelaki berkenaan.

“Budak itu berpaut pada bawah jambatan sebelum suami dan beberapa orang lain cuba menyelamatkan mangsa dengan memberi arahan supaya kanak-kanak itu melepaskan tangan kerana mereka sudah bersedia di bawah.

“Suami sempat pegang badan budak itu tetapi dengan dia sekali hanyut dibawa arus deras dan mereka berdua lemas,” ujarnya.

Nur Farah berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian suaminya yang meninggal dunia dengan cara baik ketika cuba menyelamatkan nyawa kanak-kanak.

Jenazah Mohd. Asraf di­semadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.12 petang itu, mangsa, Mohd. Johan Akmal Jamil, 13, dikatakan sedang bermain bersama rakan-rakannya di tepi longkang sebelum dia terjatuh dan berpaut bawah jambatan.

Mayat Mohd. Asraf dan Mohd. Johan ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi mereka terjatuh. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI