BERITA pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 yang diumumkan Kementerian Pendidikan secara one-off bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara amat dinanti-nantikan oleh para graduan, terutamanya mereka yang mempunyai latar belakang dalam jurusan pendidikan.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pihaknya berharap agar pengambilan secara berkala dan berterusan dilakukan setiap tahun sejajar dengan jumlah graduan yang tamat belajar.
Ikuti wawancara Kosmo! Ahad dengan beliau bagi mengulas isu ini dan juga cabaran dunia pendidikan semasa terutama ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.
PROFESION perguruan merupakan kerja yang sangat mulia, disanjung tinggi dan memegang amanah besar untuk mendidik anak bangsa.
Seorang guru bukan sahaja perlu melengkapkan ilmu di dada, tetapi menerapkan kesabaran tinggi, bersedia menghadapi pelbagai cabaran dan berfikiran lebih kreatif dalam menyampaikan pembelajaran seiring perkembangan zaman.
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan untuk membuat pengambilan khas guru secara one-off bagi mengisi kekosongan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41.
Menurut Radzi, cabaran utama dalam pengambilan guru adalah kekurangan calon kelulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.
Iklan pengambilan itu akan disiarkan pada 7 Julai ini, manakala penempatan secara berperingkat bermula pada Oktober nanti.

Bagi membincangkan lebih lanjut mengenai isu berkaitan perguruan, Wartawan Kosmo! Ahad, Zubaidah Ibrahim menemu bual Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada Prof. Datuk atas pelantikan sebagai Naib Canselor UPSI baharu. Sebagai institusi pendidikan terulung di negara ini, apakah misi dan visi Prof. Datuk untuk menjadikan UPSI terus melahirkan warga pendidik yang berkaliber dan berkemahiran sesuai perkembangan semasa?
MD. AMIN: Terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi di atas kepercayaan serta penghormatan untuk saya memegang amanah sangat besar ini dalam meneruskan kecemerlangan legasi UPSI yang telah terbina hampir satu abad.
Bagi mencapai matlamat itu, saya berpegang kepada misi dan visi untuk memartabatkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat melahirkan insan holistik dalam pelbagai sudut.
Saya juga ingin mempertingkatkan pendidikan negara yang ketika ini diuji dengan pandemik Covid-19.
Maka, UPSI akan memainkan peranan untuk membantu graduan dan negara bagi memastikan bidang pendidikan berada di kedudukan terbaik sebaris dengan negara lain.

Apa pandangan Prof. Datuk berhubung pengumuman Kementerian Pendidikan baru-baru ini untuk membuat pengambilan khas guru secara one-off sebanyak 18,702 bagi mengisi kekosongan yang dihadapi sesetengah negeri?
Saya mewakili para graduan pendidikan UPSI menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada KPM dan Jabatan Perkhidmatan Awam yang menyediakan waran perjawatan secara besar-besaran pada kali ini.
Berita gembira itu sangat dinanti-nantikan oleh para graduan, terutamanya mereka yang mempunyai latar belakang dalam jurusan pendidikan.
Saya juga berharap agar pengambilan secara berkala dan berterusan dilakukan setiap tahun sejajar dengan jumlah graduan yang tamat belajar.
Ini penting bagi menjamin pasaran graduan dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk mendapat penempatan mengajar.
Pengambilan itu dikatakan lebih tertumpu kepada subjek tertentu seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah dan subjek berkaitan teknologi. Persoalannya bagaimana dengan nasib graduan pendidikan yang tidak menjurus kepada subjek tersebut ketika belajar sebelum ini?
Saya percaya, KPM mengambil maklum mengenai persoalan ini dan pada masa sama, bidang-bidang lain juga turut ditawarkan. Cuma pengambilan secara one-off itu bagi mengisi kekosongan subjek-subjek kritikal di tempat-tempat tertentu.
Walaupun pada ketika ini pengambilan besar-besaran untuk subjek kritikal, tetapi unjuran perjawatan yang dilakukan setiap tahun masih berjalan seperti biasa.
Pihak KPM juga sedar akan kegusaran itu dan beberapa langkah dilaksanakan sejak dahulu lagi seperti Program Intervensi Tambah Opsyen.
Sebagai contoh, graduan Pendidikan Geografi boleh menukar opsyen pengajaran dengan subjek lain menerusi latihan dalam perkhidmatan dan sebagainya.

Berikutan isu lambakan graduan pendidikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, adakah kursus pengajian pendidikan yang ditawarkan UPSI masih relevan pada hari ini dan akan datang?
Berdasarkan kajian kami, hampir 70 peratus graduan pendidikan mendapat penempatan mengajar dalam tempoh dua tahun, tetapi jika lebih daripada itu, ia selalunya melibatkan kes-kes unik.
Kita harus sedar hakikat masa kini dengan peluang pekerjaan terhad, keadaan ekonomi tidak menentu dan penggunaan automasi menggantikan tenaga kerja manusia.
Dalam hal ini, kami di UPSI sentiasa melahirkan graduan yang mempunyai ciri-ciri holistik, keusahawanan, berfikiran kritis dan bersifat global bagi mengatasi masalah tersebut.
Saya amat berbangga dengan graduan kami yang berani meneroka pasaran luar negara kerana bidang pendidikan sebenarnya mempunyai peluang pekerjaan yang luas.
Ia tidak terhad mengajar di sekolah kerajaan sahaja, sebaliknya boleh mencuba di sekolah swasta, kolej serta universiti luar negara.
Antara strategi yang kami lengkapkan agar mereka mempunyai nilai kebolehpasaran adalah kemahiran bahasa antarabangsa, keusahawanan, kesukarelawan dan penyelesaian masalah.
Kita melatih mereka berpandangan jauh dan melihat masalah itu sebagai peluang serta perlu diselesaikan.
Mungkin ada penjelasan mengapa sikap kebergantungan pekerjaan oleh graduan kepada kerajaan masih tinggi?
Berbanding dahulu, skim yang ditawarkan kerajaan kepada penjawat awam dilihat sangat lumayan, apatah lagi diberikan pelbagai manfaat sehingga ramai orang berlumba-lumba untuk mendapatkannya.
Dahulu, orang memilih sektor swasta kerana gaji ditawarkan lebih tinggi. Atas keprihatinan kerajaan, kini penjawat awam menerima gaji setanding dengan mereka di sektor swasta, malah ada yang lebih tinggi.
Situasi itu diperkuatkan lagi dengan ketidaktentuan ekonomi dan keadaan terkini seperti Covid-19, menyebabkan banyak sektor ditutup sehingga ramai kehilangan kerja.
Ramai yang ingin bekerja di sektor awam kerana ia lebih selamat dan menjamin masa depan.

Pandemik Covid-19 yang berlarutan selama dua tahun menyebabkan berlaku isu pengangguran dalam sektor pekerjaan tertentu, sekali gus menyebabkan wujud senario penolakan bidang pengajian tertentu. Bagaimanakah UPSI mendepani isu seperti ini?
Salah satu slogan yang menjadi pegangan pelajar UPSI adalah ‘jangan ditanya apa kita dapat, tetapi tanyalah apa yang boleh kita sumbangkan’.
Justeru, menjadi tugas dan peranan kami untuk menyediakan graduan yang versatil, holistik dan bersedia menyelesaikan sebarang masalah mendatang.
Pihak kami melengkapkan pelbagai kemahiran kepada mereka biarpun agak penat ketika melaksanakannya, tetapi beroleh ‘kemanisan’ tatkala menuai hasil pada masa akan datang.
Di UPSI, kami menerapkan pendidikan kehidupan sebenar dan mereka dipersiapkan untuk menghadapi cabaran mendatang.
Mereka turut dididik untuk mencari dan mencipta peluang pekerjaan, di samping membuka peluang tersebut kepada orang lain.
Sementara itu, kami bakal memperluaskan lagi pendedahan antarabangsa sebagai kurikulum kepada semua graduan UPSI dengan jalinan kerjasama dengan badan-badan pendidikan dunia.
Menerusi inisiatif itu, graduan berpeluang menimba ilmu sebagai pendidik di peringkat global seperti usahasama dengan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan sebagainya.
Kata-kata graduan perlu mencipta pekerjaan dan tidak bergantung kepada makan gaji dianggap retorik dan tidak berpijak di bumi nyata berdasarkan ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan. Bagaimana pandangan UPSI dalam isu ini?
Seperti disebutkan di atas, kami berusaha melahirkan insan holistik dalam pelbagai sudut agar mereka lebih kreatif ketika berdepan cabaran dan mencari peluang lebih baik.
Mereka juga sering diterapkan bahawa masalah adalah peluang dan kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk menyelesaikannya.
Apatah lagi di era sangat mencabar dengan situasi Covid-19 sehingga mereka perlu mencari ruang serta peluang walaupun masih berharap mendapat pekerjaan diimpikan.
Sebagai contoh, membuat kelas tuisyen dan latihan secara online kreatif. Ada pelajar kami membuat bisnes percetakan online hingga menembusi pasaran Amerika Syarikat.
UPSI sentiasa komited memastikan graduan berusaha menjadi insan holistik dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sepertimana ditetapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.














