fbpx
NEELOFA mengakui musim pandemik memberi impak berbeza dalam hidupnya.

Neelofa mahu rakyat Malaysia kekal positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Mengakui tempoh pandemik memberi cabaran yang berbeza, selebriti popular Neelofa mahu semua rakyat Malaysia kekal positif.

Tutur pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor, 32 itu, dia mengakui bukan mudah untuk semua orang melalui cabaran serta dugaan hidup sepanjang musim pandemik.

Bahkan, pelakon filem Pilot Cafe itu juga mengakui dirinya turut merasai stres yang sama.

“Kepada semua, teruskan kekal positif walaupun saya tahu bukan mudah untuk melakukannya termasuk diri sendiri.

“Saya tahu memang penat tetapi itulah yang kita perlu hadapi lebih-lebih lagi apabila lihat ada negara lain yang sudah bebas,” ujarnya dalam siarang langsung mempromosikan rekaan tudung terbaharunya hari ini.

Tambah isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu, dia juga turut berasa stres kerana hanya menetap sahaja di rumah ditambah pula dengan kekangan aktiviti yang boleh dilakukan.

“Ada hari saya akan stres dan kadang-kadang rasa seperti cukup-cukuplah. Perasaan itu muncul kerana kita terpaksa duduk rumah dan tidak banyak aktiviti boleh dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu dia turut membayangkan bagaimana golongan yang terjejas melalui kehidupan yang penuh dengan cabaran ketika ini.

“Sekarang ini saya banyak juga berfikir walaupun tidaklah terlalu risau dengan masalah kewangan ataupun isu lain.

“Cuba bayangkan mereka yang kena buang kerja atau gaji dipotong. Bagaimana mereka tangani dan lalui semua ini?” tuturnya lagi.

Dalam pada itu, bekas Bintang Popular ABPH29 berkenaan turut menitipkan tips untuk kekal positif sepanjang tempoh pandemik.

“Setiap pagi, saya akan tulis perkara yang ingin dilakukan dalam buku nota. Saya minta kepada Allah SWT.

“Saya juga banyak membaca untuk pastikan diri sentiasa positif,” kongsinya ringkas.

Semalam, Kosmo! melaporkan dakwaan netizen yang mengatakan selebriti berniqab itu kini sudah berbadan dua. – K! ONLINE

POPULAR