fbpx

K2

Equine Resort tawar khidmat berkuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGI mereka yang mahir menunggang kuda boleh mengambil pakej trail joyride untuk mengelilingi kawasan kampung yang nyaman dengan dikelilingi kebun menghijau.

SESIAPA yang pernah menjejakkan kaki di Kampung Raga, Yan, Kedah pasti terpesona dengan keindahan desa dipagari pokok buah-buahan seperti durian dan rambutan.

Kawasan dikenali sebagai perkampungan dusun dalam kalangan pelawat itu turut menawarkan panorama menarik dengan berlatarbelakangkan Gunung Jerai yang menghijau.

Sungai Raya yang mengalir di desa berkenaan pernah memenangi pertandingan sungai bersih peringkat kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut.

Justeru, tidak hairanlah kampung yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Alor Setar itu sering menjadi pilihan pelancong tempatan mahu pun asing.

Selain alam semula jadi, Kampung Raga kini memiliki tarikan terbaharu iaitu Equine Resort yang menawarkan aktiviti riadah berkuda kepada pelawat.

Pemiliknya, Datuk Roslan Ghazali, 61, memaklumkan, tempat yang dibuka secara rasmi sejak empat tahun itu bertujuan memberi pengalaman menunggang kuda kepada masyarakat tempatan.

Katanya, kawasan seluas dua hektar itu menempatkan kira-kira 18 ekor kuda daripada pelbagai jenis baka terbaik dari seluruh dunia seperti polo, anglo Arab, pure Arab dan thoroughbred.

“Saya beli kuda disebabkan minat mendalam terhadap haiwan ini, selain mengikut sunnah Rasulullah SAW.Apabila bilangan kuda bertambah, saya membeli tanah di sini untuk dibina kandang.

“Selepas itu, saya terfikir untuk menawarkan perkhidmatan riadah berkuda kepada pengunjung memandangkan kos memelihara kuda sangat mahal dan tidak semua orang berkemampuan.

“Dengan adanya tempat ini, masyarakat berpeluang merasai pengalaman menunggang kuda pada harga berpatutan,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

 

PELAWAT boleh bermesra dan merakam momen indah dengan kuda yang dipelihara
di Equine Resort.

Menurut Roslan, Equine Resort sentiasa menjadi pilihan pelawat membawa keluarga beriadah sambil menunggang kuda pada hujung minggu.

“Selepas dibuka, tempat ini tidak pernah sunyi daripada kehadiran pelawat termasuk dari seberang laut. Selepas pandemik Covid-19 melanda, kehadiran pelawat terhad kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Equine Resort, Mohamad Syamsul Ali, 43, pula memberitahu, pihaknya menawarkan dua pakej menunggang kuda iaitu joyride dan trail joyride kepada pelawat.

Jelasnya, pakej joyride menawarkan pengalaman menunggang kuda sejauh 120 meter iaitu dua pusingan kandang kuda di Equine Resort pada harga serendah RM15 seorang.

Dia menambah, pakej trail joyride pula membolehkan pelawat menunggang selama satu jam setengah mengelilingi kawasan Kampung Raga pada harga RM200 seorang termasuk berkelah di tepi sungai bersama kuda.

“Buat masa sekarang, kami tidak mengenakan sebarang caj kepada pelawat yang datang ke sini untuk melihat atau bergambar dengan kuda.

“Rata-rata pelawat mengambil pakej joyride untuk merasa peluang menunggang kuda
buat kali pertama. Untuk keselamatan, petugas kami akan memegang tali kuda sepanjang tunggangan.

“Mereka yang sudah mahir boleh mengambil pakej trail joyride. Mereka berpeluang menunggang dengan bebas dan petugas kami mengiringi dengan motosikal,” ujarnya.

Menariknya, Equine Resort juga menawarkan kelas tunggangan kuda kepada mereka yang berhasrat memahirkan diri secara lebih mendalam dengan aktiviti berkenaan.

PAKEJ joyride disediakan kepada pengunjung yang pertama kali merasai pengalaman menunggang kuda bersama keluarga di Equine Resort yang terletak di Kampung Raga, Yan.

 

Kata Mohamad Syamsul, pihaknya mempunyai jurulatih bertauliah dan terlatih untuk mengajar para peserta mengenai aspek teori serta praktikal berkaitan tunggangan kuda.

“Buat masa ini, sesi pembelajaran tunggangan kuda berlangsung secara berdua antara peserta dan jurulatih. Sesi pertama dan kedua kelas berkisar mengenai teori seperti bahagian dan aspek keselamatan.

“Pada sesi ketiga hingga keenam, peserta didedahkan belajar menunggang melalui beberapa pergerakan seperti jalan, trot dan canter sehingga mahir,” katanya.

Biasanya, seseorang peserta menguasai kemahiran tersebut dengan menghadiri sekurang-kurangnya enam sesi pada harga RM500 seorang.
Setiap sesi mengambil masa selama 45 minit.

Pengunjung juga berpeluang memberi makan kuda dengan harga RM5 bagi setiap bekas makanan.

Selain itu, Equine Resort turut menawarkan perkhidmatan inap desa, aktiviti memanah dan sesi fotografi buat pasangan pengantin untuk merakam momen bahagia dengan kuda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI