PONTIAN – Sepasang suami isteri di Kampung Tampok Laut, Benut di sini resah memikirkan nasib empat anak mereka yang sukar mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR) ekoran masalah capaian internet yang lemah.
Norliza Ali, 54, berkata, dia dan suaminya Johari Peleh, 65, telah melakukan pelbagai usaha termasuk membeli telefon bernilai RM1,000 buat anak bongsunya, Abu Bakar, 15, namun masih juga sukar mengikuti PdPR.
Tiga lagi anak pasangan itu ialah Rabiatul Adwiyah, 17, pelajar Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Batu Pahat, Fatih Sofia, 19, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dan Hajar Fatiah, 22, penuntut di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
“Adakalanya, anak-anak terpaksa pergi ke rumah nenek mereka sejauh 1.5 kilometer (km) dari rumah kami atau ke pintu gerbang masuk ke kampung ini sejauh 3.5 km bagi mendapatkan capaian yang lebih baik.
“Malah kami juga telah membina kawasan pembelajaran di hadapan rumah bagi memudahkan mereka belajar,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Tampok Laut, di sini baru-baru ini.
Norliza berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, anak-anaknya terpaksa ke kedai buku di Pekan Rengit sejauh 15 km bagi mencetak kerja-kerja sekolah.
Sementara itu, Fatih Sofia memberitahu, sejak diterima masuk ke UiTM tahun lalu, dia belum merasai suasana pembelajaran di kampus dan semua pembelajaran adalah secara dalam talian.
“Adakalanya, ada antara kami adik beradik terpaksa menghentikan pembelajaran kerana penggunaan internet secara serentak menyebabkan berlaku gangguan atau pergi ke rumah nenek untuk capaian lebih baik,” jelasnya.
Bagi Hajar Fatiah, dia akan menduduki peperiksaan akhir secara dalam talian pada Julai ini dan berharap tiada masalah capaian internet dan jika terpaksa akan menumpang di kedai buku mak ciknya di Rengit.
“Kampung kami tidaklah kira sebagai pedalaman sangat, hanya 3.5 km daripada Jalan Utama Benut ke Batu Pahat atau kira-kira 30 km daripada Bandar Pontian ke Pekan Tampok,” ujarnya.