fbpx

Disamakan dengan Richard Gere, Arash rasa malu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAKONAN Arash Mohamad dalam drama Scammer membuatkan dirinya disamakan peminat dengan Richard Gere.

PETALING JAYA – Pelakon Arash Mohamad mengakui berasa malu apabila ada penonton drama bersiri terbaharu, Scammer menyamakan dirinya dengan aktor Hollywood, Richard Gere.

Pelakon berusia 52 tahun itu berkata, dia terlalu kecil jika hendak hendak dibandingkan dengan bintang filem berkenaan namun dari sudut positif pujian khalayak menjadi bukti mereka mengikuti drama rantaian lakonannya Scammer yang kini sedang menemui penonton.

“Siapalah saya nak dibandingkan dengan Richard Gere. Apa pun terima kasih memberikan jolokan itu gara-gara watak Razman dalam Scammer yang mempunyai sisi putih dan hitam.

“Saya belum pun sampai ke tahap beliau malah tak sangka dan tak terfikir langsung dipanggil Richard Gere.

“Sokongan anda semua sangat saya hargai. Hakikatnya Scammer sarat pengajaran. sekali gus menyuntik info daripada terjebak dengan penipuan,” katanya dalam satu sesi temu bual virtual bersama media, hari ini.

Scammer siaran Astro Ria yang disiarkan bermula 24 Mei lalu berkisar mengenai aktiviti pengubahan wang haram membariskan Arash, Fasha Sandha, Kamal Adli, Siti Saleha, Hasnul Rahmat, Didie Alias, Nor Albaniah dan Nadia Brian.

Mengulas mengenai maklum balas penonton, katanya 99 peratus daripada komen dalam laman sosial menunjukkan watak bapa yang digalasnya cukup dibenci ramai.

“Saya bertuah dikelilingi ramai pelakon yang tahu tanggungjawab masing-masing. Itu memudahkan kerja, begitu juga dengan pengarah kami, Labu sampai setiap babak jadi cantik dibikinnya.

“Sebenarnya pengarah kerap tegur saya. Bila dia minta saya buat A, hati saya memberontak kerana saya nampak B lebih bagus. Tetapi nampaknya pengarah cakap betul sebab dalam skrin segala-galanya jadi ‘kena’,” katanya.

Ditanya mengenai komitmen sepanjang hampir tiga dekad bergelar anak seni, akuinya pelakon perlu kuat, tahan lasak dari segi mental dan fizikal selain jangan cepat melenting untuk berada kekal dalam industri.

“Bidang ini periuk nasi kita. Soal glamor pula akan datang kemudian sesudah sampai tahap orang tahu mutu lakonan kita. Jangan membalas komen ketika sedang marah, sebaliknya bertenang dulu.

“Zaman saya dan Fasha Sandha berbeza dengan era masa kini. Jadi kita kena jaga diri, jaga perilaku sebab apa yang kita buat sekejap saja boleh dikongsi dalam laman sosial,” tambah Arash lagi.

Sempat melayangkan nasihat buat bakat baharu, Arash memberikan Fasha sebagai pelakon contoh yang bukan saja berdisiplin malah fokus terhadap tugasan di lokasi.

“Fasha, Kamal dan ramai lagi di set saya nampak cukup komited. Mereka tak main telefon sementara menunggu babak, sebaliknya simpan semua gajet dan lebih selesa buat bacaan skrip.

“Sebagai pelakon, tak kira baharu atau lama sesi latihan amat penting kerana kita dapat berlatih dulu dan berbincang sesama kita, bukan lebih banyak masa layan sosial media kerana masa kerja kita kena fokus.

“Itu tabiat yang tidak baik,” tambahnya. Kalau perlu simpan saja gajet dalam beg supaya kita tak terganggu,” ulas bintang senior itu lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI