fbpx

Covid-19 serang Copa America

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN peminat Brazil memprotes penganjuran Copa America di negara itu kerana ia dianggap mampu menyebabkan peningkatan kes Covid-19. – AFP

BRASILIA – Bilangan kes jangkitan pandemik Covid-19 dalam kalangan mereka yang terlibat pada saingan Copa America menunjukkan pertambahan 11 kes baharu menjadikannya 52 kes keseluruhan setakat ini.

Perkara tersebut didedahkan oleh Kementerian Kesihatan Brazil yang turut mengesahkan bahawa daripada 11 kes ber­kenaan, dua daripadanya adalah melibatkan pemain dan pegawai pasukan.

Bagaimanapun, tiada pendedahan lanjut mengenai identiti sebenar pemain atau staf melibatkan 10 pasukan yang bertan­ding dibuat.

Sejak Ahad lalu, seramai 33 pemain dan pegawai dari pasukan Venezuela, Colombia dan Bolivia telah diuji positif virus berkenaan ketika empat bandar di Brazil menjadi tuan rumah untuk kejohanan kali ini.

Selain itu, 19 lagi kes dikesan melibatkan pekerja hotel di Brasilia dan Rio de Janeiro yang menjadi tempat penginapan pa­sukan-pasukan yang bertanding.

Brazil dipilih menjadi tuan rumah pada saat akhir ketika kejohanan akan bermula dalam tempoh dua minggu selepas Argentina dan Venezuela yang sepatutnya menjadi hos terpaksa menarik diri ekoran peningkatan wabak Covid-19.

Seramai 2,468 orang mati akibat virus berkenaan di Brazil pada kelmarin dan Kementerian Kesihatan Brazil mengesahkan bahawa jumlah kematian keseluruhan melibatkan warga mereka setakat ini adalah seramai 490,696 orang selepas virus berkenaan merebak. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI