fbpx
ROSE MAWATI ketika menerima rawatan di HRPZ II, Kota Bharu selama 23 hari akibat Covid-19.

Derita berpanjangan pesakit Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hilang deria bau dan rasa, sukar bernafas serta badan sentiasa lemah antara kesan yang dialami bekas pesakit Covid-19 biarpun mereka telah disahkan pulih daripada serangan virus berkenaan.

Tahap kesihatan mereka tetap terjejas, malah ada antaranya yang terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan selain perlu mendapatkan rawatan berkala setiap bulan di hospital.

Tidak sekadar itu, ada antaranya yang mengalami tekanan perasaan akibat stigma masyarakat yang menyisihkan mereka kerana takut dijangkiti wabak Covid-19.

Menceritakan derita yang ditanggung, bekas guru besar di Johor Bahru, Elias Dasuki, 65, memberitahu, dia kini mudah demam, sesak nafas selain sering mengalami sakit badan.

Dia disahkan positif Covid-19 pada 18 Mac tahun lalu dan koma selama 31 hari ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

“Meskipun sudah lebih setahun bebas daripada Covid-19 tetapi keadaan kesihatan saya tidak pulih sepenuhnya, saya mudah demam, kadang-kadang sesak nafas selain mengalami bisa pada badan.

“Saya juga trauma apabila sukar bernafas dan kini bergantung kepada ubat-ubatan serta vitamin yang dibekalkan pihak hospital,” katanya di sini semalam.

ELIAS bergambar bersama petugas kesihatan di Unit Covid-19, Hospital Sultanah Aminah ( HSA ), Johor Bahru tahun lalu.

Sementara itu, di Terengganu, Muhammad Azwan ­Kimori, 29, berkata, dia masih mengalami batuk berpanjangan, keletihan dan sakit tekak yang mengganggu rutin hariannya.

Tambahnya, deria rasa dan baunya juga masih belum berada pada tahap terbaik seperti sebelum dijangkiti Covid-19.

“Saya masih mengalami simptom seperti batuk-batuk dan cepat berasa penat ­menyebabkan badan cepat lesu ketika melakukan sesuatu pekerjaan,” katanya semalam.

Di Kelantan, seorang warga emas, Rose Mawati Abdul Rahman, 61, mengakui masih me­ngalami kesukaran untuk bernafas biarpun hampir tiga minggu keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

“Sejak disahkan bebas, saya amat takut untuk keluar rumah. Segalanya kini diuruskan oleh suami dan anak perempuan,” katanya.

Jelasnya, pengalaman dijangkiti Covid-19 lebih memeritkan berbanding penyakit kanser tiroid dan sakit saraf kronik yang dialaminya.

Dalam pada itu, di Temerloh, seorang pekerja swasta, berusia 40 tahun memberitahu, kesan dijangkiti Covid-19 enam bulan lalu menyebabkan dirinya kini mudah mendapat penyakit selesema hampir setiap minggu selain mudah penat.

“Kesan jangkitan Covid-19 memang berbeza bagi setiap individu, walaupun saya mengalami gejala yang ringan namun jangkitannya memberikan kesan berpanjangan yang menjejaskan kualiti kehidupan.

“Jadi saya menyeru kepada orang ramai supaya duduk di rumah bagi mengelakkan jangkitan dan mendaftar untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 dengan segera,”katanya.

Mi Hamidi menyatakan dia kini lebih banyak berehat di rumah bersama keluarga.

Sementara itu di Jerantut, Pahang bekas pesakit Covid-19, Mi Hamidi Nipah, 51, mengakui walaupun sudah sihat selepas keluar daripada pusat kuarantin 3 Jun lalu dia masih terkesan apabila sering mengalami sakit kepala ringan dan badan terasa letih dan lesu.

Mi Hamidi yang juga Imam Masjid Kampung Pagi berkata, keadaan itu menyebabkan sedikit sebanyak aktiviti sehariannya berubah dan dia lebih banyak berehat di rumah bersama keluarga.

Sementara itu, Nor Fakaruddin Ismail, 47, berkata, seperti sesetengah orang, dia juga sering mengalami sakit dada dan sukar untuk bernafas biarpun telah dua bulan disahkan bebas daripada serangan koronavirus.

Katanya, biarpun disahkan bebas Covid-19, namun ia bukan pengakhiran kepada derita serangan pandemik itu apabila tahap kesihatan dan kehidupannya masih terjejas.

“Saya sukar untuk bernafas dan seringkali sakit dada, malah deria bau juga semakin lemah.

“Walau letak asam keping depan hidung pun saya masih tidak dapat bau. Doktor beritahu ia kesan daripada jangkitan Co­vid-19 sebelum ini,” ujarnya.

Dia yang juga pesakit asma dan diabetis memberitahu, dirinya disahkan positif Covid-19 pada 26 Februari lalu selepas menghadiri satu majlis kenduri di kampungnya di Pulai Chondong, Machang.

Tambahnya, dia juga mengalami tekanan apabila jiran-jirannya menjauhkan diri daripada keluarganya sejak didapati menghidap virus pembunuh itu.

“Orang di kawasan kediaman saya masih lagi menjauhkan diri daripada saya serta keluarga, walaupun tahu saya sudah pulih dari Covid-19 tapi mereka tetap lagi berjaga-jaga.

“Saya tidak boleh salahkan orang sekeliling, mungkin mereka beringat dan ingin jauhkan dari virus ini, namun kesannya terhadap psikologi saya amat teruk dan saya tidak tahu bila perkara ini bakal pulih,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN