fbpx
Masalah berkaitan pekerjaan dan pendapatan menyebabkan golongan muda terpaksa menangguh hasrat membeli rumah. – Gambar hiasan

Pembeli rumah pertama tangguh hasrat beli kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang berumur antara 22 hingga 29 tahun dan merupakan kumpulan pembeli rumah pertama terpaksa menangguhkan hasrat membeli rumah untuk tempoh satu hingga lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan, MyProperty Data, Joe Hock Thor berkata, kaji selidik yang dijalankan berhubung kajian sentimen pelanggan separuh pertama tahun ini mendapati, keputusan menangguhkan hasrat membeli rumah itu dibuat oleh kira-kira 58 peratus daripada responden kaji selidik tersebut.

Faktor utamanya adalah kerana pandemik Covid-19 yang menjejaskan pekerjaan dan pendapatan mereka.

“Perubahan trend ini menyebabkan pembeli rumah kali pertama lebih berwaspada dan mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ kerana membeli rumah adalah satu keputusan yang cukup besar dalam perbelanjaan mereka,” kata­nya dalam kenya­taan yang dikeluarkan semalam.

Kaji selidik tersebut melibatkan kira-kira 1,036 responden di Malaysia yang bermula pada bulan Oktober hingga November tahun lalu secara online.

Hock Thor menerangkan, sebanyak 81.1 peratus daripada pembelian hartanah kediaman di Lembah Klang tahun lalu lebih tertumpu kepada hartanah subsale.

“Pasaran hartanah kediaman subsale di Malaysia telah me­nunjukkan pertumbuhan stabil dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi trend kenaikan semakin dipercepat oleh kesan pandemik,” jelasnya.

Selain itu, tambah beliau, minat keseluruhan terhadap pasaran sekunder juga telah me­ningkat kerana sebilangan pemilik hartanah menjual aset mereka dengan harga yang lebih rendah untuk mengekalkan kecairan sekali gus mewujudkan pe­luang kepada pembeli untuk memperoleh hartanah di bawah nilai pasaran.

“Pengecualian cukai keuntu­ngan harta tanah juga mendorong sebilangan pelabur menjual aset-aset sedia ada dan memperoleh keuntungan,” jelasnya.

Sementara itu, Thor berkata, keputusan kerajaan baru-baru ini yang melanjutkan skim penge­cualian duti setem kediaman di bawah kempen pemilikan rumah hingga akhir tahun ini akan dapat membantu mengurangkan beban pembeli rumah

Tambah beliau pandemik telah mewujudkan peluang bagi pelabur memanfaatkan harga hartanah yang lebih rendah de­ngan tawaran pelbagai insentif sedia ada dan kadar faedah rendah bagi pembelian aset berkua­liti untuk simpanan masa depan.

“Oleh kerana hartanah dianggap sebagai instrumen lindung nilai terhadap inflasi, pelaburan ke arah aset ini akan dapat memberi keuntungan jangka panjang selaras dengan penstabilan dan pemulihan pasaran,” ujarnya.