fbpx
CDC melonggarkan cadangan perjalanan bagi lebih 110 buah negara dan wilayah di seluruh dunia. – Getty Images/Metro UK

CDC longgarkan cadangan perjalanan 110 buah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melonggarkan cadangan perjalanan bagi lebih 110 buah negara dan wilayah, termasuk menurunkan penilaian terhadap 61 buah negara daripada kategori paling berisiko tinggi, lapor akhbar Metro UK semalam.

Ini bermaksud negara-negara yang sebelum ini berada dalam Tahap Empat iaitu ‘berisiko amat tinggi’ diturunkan kepada Tahap Tiga iaitu ‘berisiko tinggi’.

Negara-negara tersebut termasuk Kanada, Ecuador, Perancis, Hungary, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Filipina, Poland, Rusia, Afrika Selatan, Sepanyol, Switzerland, Turki dan Amerika Syarikat.

Selain itu, negara-negara yang turun dari Tahap Tiga ke Tahap Dua termasuk Angola, Djibouti, Kenya dan Finland.

Manakala 50 buah negara dan wilayah turut diturunkan daripada Tahap Dua iaitu ‘sederhana’ kepada Tahap Satu iaitu ‘berisiko rendah’ termasuk Albania, Belize, Iceland, Israel, Singapura dan Korea Selatan.

Dalam pada itu, Haiti, Nicaragua, Korea Utara dan Uzbekistan dinaikkan kepada Tahap Empat. 

Sebelum ini, CDC mengklasifikasikan negara-negara sebagai Tahap Empat jika mempunyai 100 atau lebih kes Covid-19 bagi setiap 100,000 orang.

Bagaimanapun, kini negara-negara dikategorikan pada Tahap Empat jika mempunyai 500 kes Covid-19 bagi setiap 100,000 orang. – AGENSI