fbpx

Larangan penyertaan Olimpik, KBS tunggu pengesahan rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan pengesahan dan maklumat terperinci dari Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jepun mengenai kemungkinan Malaysia tidak dibenarkan menyertai temasya Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, KBS mengambil maklum berkenaan laporan media mengenai 10 buah negara yang berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Olimpik Tokyo 2020 termasuklah Malaysia.

Beliau berkata, laporan berkenaan juga berkait dengan senarai 159 buah negara yang dihalang daripada memasuki negara Jepun seperti mana siaran pemakluman oleh Kementerian Luar Negeri Jepun.

“Siaran pemakluman tersebut juga turut menyentuh pengecualian yang boleh diberikan kepada beberapa kategori rakyat asing termasuklah ‘athletes and other persons concerned with Olympic and Paralympic Games Tokyo 2020’.

“KBS telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya berhubung dan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta semua pihak yang berkaitan untuk mendapat pengesahan dan maklumat terperinci berkenaan perkara ini,” jelasnya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Reezal berkata, KBS juga sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jepun bagi mendapatkan sebarang perkembangan lanjut.

Katanya lagi, buat masa ini, momentum persiapan atlet negara berada pada tahap yang baik termasuklah persediaan latihan fizikal dan mental ke temasya Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung kira-kira 46 hari sahaja lagi.

“Di samping persiapan terbaik untuk atlet, KBS akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih serta pegawai yang terlibat sebagai keutamaan.

“KBS akan memaklumkan perkembangan terkini berkenaan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI