fbpx

Cuepacs gesa KPT lantik segera NC universiti awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan Naib Canselor di lima buah universiti awam di Malaysia.

Lima universiti tersebut adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, kelewatan kerajaan membuat lantikan baharu boleh menjejaskan operasi pentadbiran dan sekali gus menjejaskan hala tuju universiti bagi melaksanakan visi dan misi masing-masing.

“Kuasa untuk melantik Naib Canselor bergantung pada menteri dan mereka juga mempunyai kuasa untuk menamatkan pelantikan Naib Canselor di universiti awam pada bila-bila masa.

“Kelompangan ini juga akan memberi kesan terhadap potensi penuh institusi pengajian tinggi kerana tidak dapat diterokai khususnya ketika negara sedang mengalami pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, setelah jawatan Naib Canselor dikosongkan, Timbalan Naib Canselor pada waktu itu akan menjalankan tugas sebagai Naib Canselor untuk beberapa tempoh yang ditetapkan oleh menteri dari KPT.

“Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa kekosongan yang terlalu lama bagi jawatan itu boleh menjejaskan hala tuju dan pentadbiran universiti.

“Walaupun jawatan tersebut diambil alih seketika oleh Timbalan Naib Canselor yang berpengalaman, pasti terdapat beberapa masalah yang menghalang beliau daripada menjalankan tugas dengan sepenuhnya.

Tambah beliau, hal-hal kebajikan kakitangan khususnya kumpulan sokongan tidak akan mendapat pembelaan sekiranya ketiadaan Naib Canselor yang sentiasa menjadi rujukan kepada kakitangan yang mempunyai masalah.

CUEPACS berharap pihak KPT dapat menyelesaikan isu ini dengan kadar segera dan semua jabatan serta agensi kerajaan perlu dimantapkan agar dapat menjadi pemangkin kepada isu yang melanda ketika ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI