fbpx

Hanya 10 surat diterima ketika SJR mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan hanya akan menerima surat pengesahan daripada kementerian atau agensi tertentu sahaja sebagai bukti yang membolehkan pekerja bergerak dari kediaman ke tempat kerja bermula 8 Jun ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM menyokong hasrat kerajaan bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Sebagai agensi bertanggungjawab menguatkuasakan sekatan jalan raya (SJR), kebenaran melakukan perjalanan hanya akan diberikan kepada pekerja yang mengemukakan surat pengesahan daripada kementerian dan agensi tertentu sahaja bagi sektor yang dibenarkan beroperasi.

“Surat kebenaran yang diterima pakai sebagai bukti untuk melakukan perjalanan ke tempat kerja adalah daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Acryl Sani, surat pengesahan yang turut diterima adalah daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi sektor pengangkutan awam dan barangan keperluan serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi.

“MAFI hanya akan mengeluarkan surat pengesahan kepada pekebun kecil dan bagi yang mempunyai lesen di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) (Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0)).

“Kebenaran juga diberikan kepada mereka yang mempamerkan surat pengesahan daripada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bagi sektor perladangan dan pengeluaran hasil komoditi seperti kelapa sawit dan getah atau sebagainya,” ujar beliau.

Jelas beliau, bagi pemegang permit dan lesen Lembaga Getah Malaysia (LGM) seperti pekebun kecil, estet, nurseri, peniaga getah, pedagang dan pengilang getah boleh menggunakan surat pengesahan yang dikeluarkan oleh MPIC atau LGM.

“Bagi pengilang pembuatan produk getah seperti sarung tangan, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI (CIMS 3.0).

“Turut diterima adalah surat yang dikeluarkan oleh Bank NEgara Malaysia bagi institusi kewangan serta insurans dan Suruhanjaya Sekuriti yang berkaitan sektor urusniaga saham,” katanya.

Tambah Acryl Sani, surat pengesahan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi sektor peniaga kecil dan penjaja gerai makanan juga ‘food truck’ turut diterima dan lesen berniaga bagi pengurusan strata, sisa pepejal dan sanitasi, surat pengesahan akan dikeluarkan oleh MITI (CIMS 3.0).

“PDRM juga turut menerima surat pengesahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi perkhidmatan telekomunikasi, media, pos, kurier dan penyiaran serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Semua surat pengesahan yang dikeluarkan oleh agensi-agensi yang berada di bawah KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan sebagainya akan turut diterima pakai,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, PDRM akan mengeluarkan permit pergerakan bagi mereka yang layak di bawah pergerakan rentas sempadan iaitu ziarah kematian, kecemasan dan mereka yang bekerja sendiri.

“Dokumen pengesahan yang dikemukakan di SJR juga haruslah bertarikh mulai 1 Jun 2021 dan pihak yang tiada sebarang dokumen yang sah seperti dinyatakan atau telah tamat tempoh iaitu sebelum 1 Jun akan diarahkan untuk berpatah balik.

“Bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggara, penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperolehi daripada polis secara ‘one off’ untuk tempoh dari 1 Jun hingga 14 Jun 2021,” tambah beliau.

Acryl Sani berkata, bagi pekerja di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi tetapi perlu ke tempat kerja bagi tujuan khusus seperti penyediaan dokumen, invois, pembayaran gaji dan sebagainya, kebenaran oleh PDRM akan diberi secara one off iaitu bagi tempoh dua hingga tiga hari sahaja dan surat pengesahan daripada majikan juga perlu dikemukakan sebagai bukti.

“Bagi pengoperasian firma guaman dengan kakitangan seramai 20 peratus, surat akan dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri JPM melalui MITI (CIMS 3.0) dan bagi pengamal undang-undang yang perlu hadir ke mahkamah untuk mewakili anak guam dalam kes yang baharu (reman Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah) hendaklah menunjukkan dokumen bercetak atau surat firma guaman di SJR.

“PDRM mengingatkan orang ramai agar mengemukakan dokumen yang dikeluarkan oleh kementerian atau agensi yang telah dinyatakan ketika melalui SJR dan mereka yang gagal mengemukakan surat pengesahan atau mengemukakan surat pengesahan palsu akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” tegas beliau.

Acryl Sani menambah, orang ramai diminta untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19 dan sekiranya terdapat aduan mengenai pematuhan dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKP, salurkan melalui Malaysian Goverment Call Centre (MyGCC) di talian 03-8000 8000 atau menerusi emel ke [email protected] serta [email protected]. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI