fbpx

Cengkih penawar Covid-19 hanya mitos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CENGKIH merupakan alternatif untuk rawatan selesema, batuk dan sakit tekak. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Rawatan menggunakan cengkih sebagai penawar untuk pesakit Covid-19 adalah mitos semata-mata kera­na tiada kajian saintifik yang membuktikan bahan itu boleh menjadi ubat kepada pandemik tersebut.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, bagaimanapun, dalam rawatan tradisional, cengkih digunakan sebagai bahan untuk merawat selesema, sakit tekak dan batuk.

Beliau berkata, walaupun tiada kajian berkaitan rawatan tersebut (selesema, batuk dan sakit tekak), namun ia mempu­nyai keberkesanannya.

“Saya sendiri menggunakan cengkih dan beberapa bahan tradisional lain seperti bawang putih, madu dan limau nipis untuk merawat sakit tekak, selesema dan batuk.

“Namun, bagi membunuh virus ini (Covid-19) menggunakan cengkih, masih belum ada kajian yang boleh membuktikannya. Lagipun virus ini berada di dalam hidung sehingga paru-paru,” katanya kepada Kosmo! semalam.

DR. ZAINAL ARIFFIN

Malah, kata Zainal Ariffin lagi, amalan menyedut wap cengkih secara berterusan juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada paru-paru seperti penyakit keradangan.

“Bahaya jika mengamalkan sedut wap panas cengkih kera­na wap tersebut akan melalui kerongkong dan terus kepada paru-paru yang boleh menyebabkan keradangan pada paru-paru.

“Justeru, jangan percaya kepada benda yang tular di media sosial, seeloknya rujuk dahulu doktor atau pengamal perubatan bertauliah supaya anda tidak merisikokan diri dengan ‘penawar mitos’ di media sosial,’” tegasnya.

Sementara itu, Pakar Perun­ding Ortopedik, Medical Mythbusters Malaysia, Dr. Mahyuddin Mohamed turut memaklumkan bahawa tiada kajian yang membuktikan keberke­sanan cengkih dalam merawat pesakit Covid-19.

DR. MAHYUDDIN

Malah, katanya, menghidu wap panas boleh menyebabkan inhalation injury atau kerosakan salur pernafasan seseorang.

“Kalau boleh guna wap cengkih, tak perlulah kita belanja jutaan ringgit beli vaksin, buat pusat pemberian vaksin, pusat kuarantin pesakit Covid-19 dan sediakan wad serta unit rawatan rapi (ICU) kepada pesakit Co­vid-19.

“Baik kita belanja duit beli bu­nga cengkih sahaja. Nasihat saya, jika anda selesema, sakit tekak, batuk dan kesukaran bernafas, segera ke hospital,” kata­nya.

Tambah Mahyuddin, lagi lambat pesakit ke hospital, ia akan mendedahkan pesakit dari ka­tegori 1 atau 2 ke kategori lebih teruk yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Terdahulu, tular di media sosial apabila ada pihak mendakwa cengkih boleh merawat Covid-19 dengan menyedut wap air rebusan cengkih ataupun dengan mengunyah biji cengkih. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI