fbpx

Kira-kira 1 juta peniaga PMKS, informal berisiko ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kira-kira 1 juta atau 90 peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk peniaga informal atau tidak berdaftar berisiko ditutup sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat dilaksanakan secara berterusan.

Ia berdasarkan kaji selidik yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada Mac lalu melibatkan 3,855 responden dengan 58 peratus daripadanya adalah perusahaan mikro manakala baki merupakan perusahaan kecil dan sederhana, koperasi serta informal.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dapatan kaji selidik juga mendapati sebanyak 54 peratus terutamanya perusahaan mikro hanya mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan yang dikhuatiri akan menyumbang kehilangan pekerjaan kepada lebih tiga juta penduduk Malaysia.

Menurutnya, kaji selidik itu turut mendapati 72 peratus usahawan menjangkakan perniagaan masing-masing akan terus mengalami kerugian.

“Perusahaan mikro dan informal paling teruk terjejas kerana produk dan perkhidmatan mereka adalah dalam sektor bukan perlu (non-essential). Mereka terpaksa memberhentikan pekerja kerana kekangan aliran tunai selain bebanan kos sewaan premis dan bil utiliti.

“Dalam tempoh sebulan pelaksanaan PKP 2.0, seramai 4,687 orang telah diberhentikan kerja di mana 3,852 daripadanya adalah pekerja tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, sebanyak 1.83 peratus usahawan dengan majoritinya adalah usahawan mikro telah gulung tikar semasa penguatkuasaan PKP 2.0 yang menyebabkan 126,290 kehilangan guna tenaga PKS.

“Angka ini bagaimanapun mencatatkan pengurangan berbanding ketika penguatkuasaan PKP 1.0 dengan 8.85 peratus usahawan gulung tikar,” katanya.

Hasil sapatan itu kata Wan Junaidi turut disokong kaji selidik yang dilaksanakan oleh MEDAC dalam tempoh sama ke atas 2,888 responden pengguna yang mendapati pekerja sektor swasta paling berisiko tinggi diberhentikan kerja.

Beliau berkata, lebih 50 peratus daripada kumpulan B40 dan hampir 50 peratus kumpulan M40 mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 10 peratus hingga 30 peratus akibat penguatkuasaan PKP manakala 30 peratus daripada kumpulan T20 mengalami pengurangan pendapatan lebih 50 peratus. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI