fbpx
Hishammuddin.

Malaysia akan keluar nota bantahan, panggil Duta China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Malaysia akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada Kerajaan Republik Rakyat China berhubung pencerobohan 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China ke dalam ruang udara negara ini di atas Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementeriannya juga akan memanggil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia.

“Kementerian Luar Negeri merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengenai pencerobohan 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China ke dalam ruang udara Malaysia di atas Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Peta menunjukkan lokasi pesawat Hawk memintas pesawat PLAAF. – Kredit Foto: Twitter TUDM

“Berdasarkan laporan yang diterima daripada TUDM, Kementerian ini akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik atas pencerobohan ini kepada Kerajaan Republik Rakyat China.

Kementerian ini juga akan memanggil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia bagi memberikan penjelasan mengenai pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Hishammuddin, beliau juga akan menyampaikan kegusaran serius Malaysia mengenai perkara ini kepada rakan sejawatan saya di China.

“Pendirian Malaysia sangat jelas, mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak sekali-kali bermaksud bahawa kita akan kompromi tentang keselamatan negara kita.

“Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan kita,” tegasnya.

Terdahulu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad mendedahkan, sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) telah dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional pada semalam.

Katanya, penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada pukul 11.53 pagi.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal ‘in-trail’ pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain dan formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR