fbpx
GoPayy digunakan sebagai pembayaran caj tempat letak kereta.

MPSepang perkenal kupon digital GoPayy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan menggunakan kaedah kupon digital dikenali GoPayy sebagai pembayaran caj tempat letak kereta awam baharu yang akan digunakan mulai esok.

GoPayy adalah kaedah terbaharu pembayaran caj tempat letak kereta  (TLK) awam yang akan menggantikan kaedah pembayaran menggunakan kupon gores di seluruh kawasan MPSepang.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, kaedah pembayaran kupon digital GoPayy itu adalah sebagai langkah untuk menyokong strategi kerajaan negeri Selangor untuk meningkatkan taraf Majlis Perbandaran sebagai Smart City yang mengutamakan teknologi hijau untuk ‘zero karbon’ (sifar karbon).

Beliau berkata, MPSepang adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang berjaya memperkenalkan kaedah kupon digital sebagai pembayaran caj tempat letak kereta awam.

“Sehubungan itu, MPSepang akan menyediakan ‘booth’ di beberapa kawasan di daerah Sepang untuk memperkenalkan sistem GoPayy ini kepada orang awam di samping akan melantik ejen-ejen kupon gores yang sedia ada menjadi ejen jualan caj letak kereta menggunakan sistem ‘GoPayy’ yang baru dilancarkan, ” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kaedah yang dilaksanakan itu akan memudahkan orang ramai untuk membayar caj tempat letak kereta khususnya kepada pengguna yang tidak mempunyai telefon pintar.

“Membuat bayaran caj letak kereta menggunakan system GoPayy sangat mudah. Pengguna hanya perlu memberikan nombor pendaftaran kenderaan kepada wakil ejen dan membuat bayaran caj petak kereta berdasarkan tempoh jam yang diperlukan dan mendapatkan resit pembayaran.

“Butir-butir parkir seperti nombor pendaftaran kereta, tempoh mula dan tamat, tarikh dan juga kawasan atau PBT akan dicetak secara automatik pada resit pembayaran,” katanya.

Jelasnya, perbezaan di antara digital kupon dan kupon gores yang sedia ada adalah setiap pembelian akan direkodkan secara ‘real time’ dan juga online melalui sistem GoPayy yang akan diguna pakai untuk penguatkuasaan tempat letak kereta. – K! ONLINE