fbpx

Sebaran kes sporadik tinggi di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Kes-kes sporadik yang tercetus dalam komuniti merupakan faktor utama peningkatan jangkitan Covid-19 di Kelantan sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pe­ningkatan itu jelas ketara selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini sehingga bilangan kes positif Covid-19 di Kelantan naik ke tangga kedua selepas ­Selangor.

Katanya, penambahan jumlah kes itu bukan hanya disebabkan oleh orang luar dari Kelantan yang pulang beraya tetapi jangkitan Covid-19 sebenarnya sudah ada dalam kalangan masyarakat.

“Kita sudah menjangkakan kes akan naik mendadak selepas Hari Raya Aidilfitri ekoran ter­dapat pertambahan kluster-­kluster baharu ketika ini.

“Masyarakat Kelantan berkemungkinan tidak mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa Ramadan sehingga Syawal sekali gus menjadikan kes di Kelantan semakin membimbangkan,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Berdasarkan rekod, Kelantan mencatatkan sebanyak 907 kes jangkitan Covid-19 semalam iaitu kedua tertinggi di belakang ­Se­langor dengan 2,836 kes.

Mengulas lanjut, menurut Zaini, daripada jumlah keseluruhan kes semalam dan kelmarin, kes kontak rapat positif dan saringan bergejala mencatatkan jumlah yang tertinggi iaitu melepasi 700 kes.

Katanya, jumlah itu jelas ­me­nunjukkan bahawa kes sporadik dalam komuniti di Kelantan amat tinggi.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI