fbpx

Jun Hoong belum layak ke Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HOONG kekal tenang dan menanti senarai akhir daripada FINA sama ada dirinya layak atau sebaliknya bagi menyertai Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun pada Julai depan.

PENERJUN negara, Cheong Jun Hoong kekal tenang selepas mendapat berita mengejut daripada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) mengatakan dia masih belum layak ke Sukan Olim­pik 2020 di Tokyo, Jepun pada Julai depan.

Jun Hoong, 31, sebelum ini berjaya mengesahkan slot ke ­Olimpik Tokyo dalam acara 10 meter (m) platform individu pada Piala Dunia Terjun 2021 di Pusat Akuatik Tokyo awal bulan lepas.

Bagaimanapun, bekas juara dunia 2017 itu kini terpaksa menanti pengesahan baharu daripada FINA berhubung statusnya untuk membuat penampilan kedua berturut-turut di pentas Olimpik selepas edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Berkenaan dengan berita yang dikeluarkan, apa yang kita boleh lakukan sekarang adalah kekal tenang dan menanti senarai akhir daripada organisasi (FINA).

“Buat masa ini, saya akan terus bekerja keras dalam setiap sesi latihan. Terima kasih kepada semua atas sokongan yang diberikan selama ini,” kata Jun Hoong.

Difahamkan, FINA hanya memberikan 12 kuota bagi acara individu pada Piala Dunia Terjun 2021 berbanding 18 slot sebelum ini untuk layak secara automatik ke Olimpik Tokyo.

Jika hanya 12 kuota, ia bermakna Jun Hoong terpaksa melupakan hasratnya kerana dia menamatkan saingan 10 m platform kejohanan tersebut pada tempat ke-18.

Ia mampu meleburkan impian Jun Hoong untuk mengulangi pencapaiannya pada Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan dia berjaya meraih pingat perak bersama Pandelela Rinong dalam acara 10 m platform seirama.

Ini kerana saingan Piala Dunia Terjun 2021 bulan lalu adalah kejohanan terakhir untuk mana-mana atlet cuba melayakkan diri ke Olimpik Tokyo yang akan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI