fbpx

Gas Malaysia catat hasil RM6.69 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERMINTAAN terhadap gas asli di Semenanjung Malaysia kekal stabil dalam keadaan ekonomi yang sukar kini.

PETALING JAYA – Gas Malaysia Bhd. ahli kepada MMC Group mencatat hasil sebanyak RM6.69 bilion bagi tahun kewangan ber­akhir 31 Disember 2020 berban­ding RM6.89 bilion tahun sebe­lumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, prestasi tersebut diperoleh daripada harga jualan purata gas asli yang rendah serta penurunan yang sedikit dalam volum jualan gas asli.

Menurut beliau, keuntungan selepas zakat dan cukai me­ningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM212.6 juta berbanding RM190.1 juta yang dicapai tahun sebelumnya.

“Kumpulan mampu mengekalkan model perniagaan dan mencatat keputusan kewangan yang memberangsangkan di sebalik berdepan dengan persekitaran ekonomi yang sukar kini ekoran pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan bersempena mesyuarat agung tahunan (AGM) Kumpulan.

AGM secara maya itu berlangsung dari Pusat Latihan dan Sumber Gas Malaysia di Shah Alam baru-baru ini.

Ahmad Hashimi menjelaskan, Kumpulan akan terus fokus kepada komitmen kumpulan dalam mencapai nilai jangka panjang bagi memenuhi sasaran pembangunan rangkaian Sistem Pengedaran Gas Asli (NGDS), mengekalkan operasi yang berkesan, mendapatkan pelanggan baharu serta mengoptimakan kos.

Menurut beliau, Kumpulan telah meluaskan rangkaian NGDS sehingga 132 kilometer, menjadikan jumlah panjang rangkaian paip gas sehingga kini adalah 2,600 kilometer.

“Kami juga berjaya memperbaharui semua perjanjian bekalan gas dengan pelanggan sedia ada.

“Ini menunjukkan industri gas kekal kukuh meskipun dalam keadaan ekonomi sukar dan ia menunjukkan bahawa terdapat permintaan yang tinggi terhadap gas asli dalam Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Ahmad Hashimi menjelaskan, bagi perancangan masa depan, Kumpulan optimis terhadap ­prestasi bagi keseluruhan tahun 2021 malah akan lebih mengga­lakkan bersandarkan asas perniagaan yang kukuh serta portfolio perniagaan yang berkembang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI