fbpx

Berulang-alik ke masjid untuk internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR HAFIZAH (kanan) bersama adiknya, Ummi Kalsum ketika mengikuti PdPR di kawasan masjid Kampung Mat Daling, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT – Ketiadaan liputan internet di kawasan rumah memaksa dua beradik pe­rempuan berulang-alik sejauh tiga kilo­me­ter setiap hari dari kediaman mereka ke masjid bagi mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Nur Hafizah Ahmad Hairi, 18, kini mengikuti pengajian pra-universiti di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Temin, Je­rantut, manakala adiknya, Ummi Kalsum, 16, bersekolah di Maahad As-Sultan Ahmad Shah ­Ad­diniah, Jengka di Maran.

Nur Hafizah berkata, perjalanan dari kediaman di Kampung Mat Daling, di sini ke masjid kampung mereka dengan menunggang motosikal bukan mudah, kerana perlu melalui jalan kampung dan denai berlumpur di pesisir Sungai Tembeling.

“Mujurlah liputan internet di kawasan masjid ini agak memuaskan, jadi kami berdua dapat mengikuti proses pembelajaran yang dijalankan oleh guru berdasarkan jadual yang telah ditetapkan.

“Kami tidak mahu terlepas sesi pembelajaran setiap hari kerana tidak mahu ketinggalan. Meskipun wujud rasa bimbang ketika melalui jalan denai yang agak berbahaya, ini sahaja pilihan yang kami ada,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Nur Hafizah, mereka telah mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan masjid dan menggunakan sebuah pondok terbuka di kawasan masjid itu bagi mengikuti PdPR dengan mematuhi segala prosedur operasi standard ditetapkan.

Sementara itu, Ummi Kalsum berkata, meskipun kampung mereka memiliki Pusat Internet Komuniti, pusat berkenaan sentiasa dipenuhi pelajar sejak cuti sekolah bermula.

“Kadang-kadang agak sukar mendapatkan akses internet di pusat tersebut kerana taliannya agak lemah, kami berasa lebih selesa dan selamat di sini. Kami juga ada membawa bekalan makanan dari rumah.

“Saya dan kakak perlu belajar bersungguh-sungguh demi me­ngubah kehidupan keluarga kerana­ bapa hanya bekerja kampung dan pendapatannya tidaklah seberapa,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI