fbpx

‘Spiderman’ ligat jual sate

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD FIRDAUS mengenakan kostum Spiderman ketika menghantar sate di Bandar Tenggara, Kota Tinggi dan Kulai.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki menjadi terkenal gara-gara me­ngenakan kostum ‘Spiderman’ ketika membuat penghantaran secara tunai perniagaan sate yang diusahakan bersama ahli keluarganya di sekitar Bandar Tenggara di sini.

Mohamad Firdaus Bachok @ Rahim, 31, atau lebih dikenali sebagai Acuk berkata, ia merupakan teknik pemasaran yang diamalkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mahu menghiburkan pelanggannya.

Katanya, dia membuat penghantaran selepas perniagaan sate sejak 10 tahun lalu terhenti seketika ketika dia bekerja sebagai penyelia di sebuah pasar raya.

“Saya kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada bisnes sate. Ada juga kawan-kawan yang kata tak malukah pakai macam begini dan lain-lain lagi.

“Tetapi saya tak ambil hati. Bahkan saya sedikit pun tidak malu pakai kostum Spiderman naik motosikal hantar sate ke sana sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, niatnya hanya mahu mencari rezeki halal selain mahu menghiburkan orang dan kebanyakan pelanggannya teruja apabila melihat Spiderman yang hantar sate mereka terutamanya kanak-kanak.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, bisnes itu turut dibantu oleh ibu, ayah dan kakaknya dan sate diusahakan mereka sudah dikenali di sekitar Bandar Tenggara dan dia bercadang meluaskannya lagi.

Menurut Acuk, kini dia terpaksa mengehadkan tempahan kerana tidak menang tangan melayan penghantaran yang mencecah sehingga 1,500 cucuk sehari tanpa dikenakan caj.

“Tambahan pula sekarang PKP, pelanggan tidak boleh keluar jadi saya tidak menang tangan untuk hantar kerana rata-rata mereka mahu Spiderman yang hantar,” katanya lagi.

Tambahnya, dia gembira apabila melihat pelanggannya teruja dengan kehadirannya dan ada yang membuat tempahan berulang walaupun RM10 semata-mata anak mereka mahu Spiderman datang ke rumah.

“Ada juga kanak-kanak yang menangis melihat saya datang kerana tidak percaya Spiderman yang selama ini hanya dilihat di televisyen ada di depan mata,” katanya.

Ujar Acuk, kebanyakan pe­langgan tidak melepaskan peluang bergambar dengannya ketika dia sampai untuk membuat penghantaran yang juga dilakukan di sekitar Kota Tinggi dan Kulai.

Orang ramai yang mahu membuat tempahan sate boleh hubungi Acuk di talian 011-36013630. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI