fbpx

Pengarah JSJ Bukit Aman bersara wajib berkuat kuasa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Huzir Mohamed

PETALING JAYA – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed akan bersara wajib berkuat kuasa esok dan jawatannya itu akan dipangku oleh Datuk Dev Kumar.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi satu kenyataan berkata, Datuk Huzir dilahirkan pada 20 Mei 1961 di Taiping, Perak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah King Edward hingga tingkatan enam.

“Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Diploma Sains Siasatan Kepolisan, Universiti Malaya.

“Beliau menyertai perkhidmatan PDRM pada 27 Disember 1982 sebagai Pelatih Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) sebelum menjadi Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields selama tiga tahun,” katanya.

Kata kenyataan tersebut, Datuk Huzir telah berkhidmat di beberapa buah kontinjen dan jabatan di bawah PDRM antaranya Pegawai Turus Risik dan Kuarter Master Batalion 6, Pasukan Polis Hutan Cheras dan Pegawai Turus Operasi di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Pada tahun 2017, beliau bertugas sebagai Timbalan Pengarah(Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman dan sebelum bersara beliau menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

“Beliau juga merupakan bekas pemain ragbi PDRM dan pernah menyertai pasukan kebangsaan dari tahun 1981 hingga 1986. Datuk Huzir turut memegang jawatan Ahli Jawatan Kuasa Ragbi PDRM,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang karier beliau hampir 15 tahun berkhidmat dalam JSJ, banyak kejayaan kes-kes berprofil tinggi telah diselesaikan.

“Antaranya Ops Jejak Aman membabitkan Kelvin Morais, Ops API OUG iaitu kes seorang Datin ditembak mati, Ops API Setapak membabitkan kes tembak mati ketua kumpulan Geng Satu Hati dan Ops Cantas Geng 360 Devan yang membawa kepada penahanan 57 ahli kumpulan jenayah terancang Geng 360 Devan.

“Di atas kecemerlangan tersebut, beliau telah dianugerahkan beberapa pingat antaranya Pingat Kelakuan Terpuji (Istana Pahang), Darjah Setia Negeri Sembilan (Istana Negeri Sembilan) dan Pingat Jasa Pahlawan Negara (Istana Negara),” jelasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN