fbpx

Pelajar IPT paling ramai jadi mangsa ugut gambar bogel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Majoriti mangsa membabitkan kes pemerasan atau ugutan menyebarkan gambar serta video lucah ialah pelajar wanita di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Fakta tersebut dikeluarkan selepas Polis Daerah Petaling Jaya menerima sebanyak 21 laporan berkaitan kes pemerasan, ugutan atau gangguan menerusi gambar bogel dan lucah sejak awal Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kebanyakan mangsa terpedaya selepas pemanggil video membuka pakaian termasuk berbogel sebelum meminta mangsa melakukan perkara sama.

“Sebahagian besar kes ini membabitkan sindiket yang memperdaya mangsa di media sosial namun terdapat juga kes membabitkan individu dikenali termasuk bekas suami dan teman lelaki.

“Modus operandi sindiket ini ialah memperdaya mangsa tidak kira lelaki atau wanita di media sosial sehingga ada yang sanggup berkongsi gambar bogel atau video lucah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sindiket tersebut akan merakam video dan gambar lucah mangsa supaya mereka boleh memeras ugut untuk menyebarkannya.

“Sindiket ini akan meminta sejumlah wang daripada mangsa dan sekiranya tidak membayarnya, mereka akan menyebarkan gambar atau video mangsa di media sosial termasuk ahli keluarga serta rakan mangsa.

“Sehingga kini, sebanyak 21 kes telah diterima polis dan 12 daripadanya telah membuat pembayaran kepada suspek melibatkan wang berjumlah RM33,788.88,” katanya.

Pihak polis ingin menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dan perlu bijak menggunakan media sosial.

Sebarang aksi secara langsung di media sosial akan dirakam oleh pihak kedua dan jangan mudah mempercayai individu yang baru dikenali di media sosial. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI