fbpx

28 Julai keputusan semak kehakiman cabar operasi kilang Lynas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Julai ini bagi memutuskan permohonan semakan kehakiman tiga individu yang mencabar keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Jemaah Menterinya melanjutkan lesen kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn. Bhd. selama enam bulan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan peguam-peguam yang mewakili pihak pemohon dan 31 responden.

Ketiga-tiga pemohon terdiri daripada Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas, Tan Bun Teet, 72, serta dua penduduk Kuantan, Pahang iaitu Ismail Abu Bakar, 72 , serta G. Ponusamy, 69.

Selain bekas Perdana Menteri selaku responden pertama, responden-responden ialah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Turut dinamakan sebagai responden, Kerajaan Malaysia, Lembaga Perlesenan tenaga Atom (AELB) dan Lynas.

Pemohon-pemohon diwakili oleh barisan peguam bela terdiri daripada Datuk Seri Gopal Sri Ram, Dinesh Athinarayanan dan Saha Deva manakala Tan Sri Cecil Abraham dan Datuk Sunil Abraham mewakili Lynas.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Ng Wee Li mewakili Dr. Mahathir dan 30 responden yang lain.

Pihak responden menghujahkan agar semakan kehakiman itu ditolak atas alasan permohonan itu kini akademik kerana lesen operasi Lynas telah disambung untuk kali kelima bagi tempoh tiga tahun bermula 3 Mac tahun lalu hingga 2 Mac 2023.

Terdahulu, pemohon menghujahkan bahawa Bee Yin selaku menteri (ketika itu) terkhilaf kerana menurunkan kuasanya kepada Jemaah Menteri untuk mendengar rayuan Lynas berhubung pra-syarat yang dikenakan kepada syarikat itu ketika memperbaharui lesen.

Pada 8 November 2019, tiga individu berkenaan memfailkan permohonan bagi memohon deklarasi untuk membatalkan keputusan Dr. Mahathir dan 27 menteri Kabinetnya yang membenarkan operasi Lynas dilanjutkan selama enam bulan lagi bermula 15 Ogos 2019.

Mereka turut memohon deklarasi agar keputusan Jemaah Menteri ketika itu adalah ultra vires, terbatal dan tidak sah kerana tindakan Bee Yin (responden ketiga) menyalahi undang-undang kerana secara salah memberikan kuasa kepada Jemaah Menteri untuk membuat keputusan secara kolektif.

Pemohon-pemohon juga menyatakan pada 4 Disember 2018, responden ke-30 iaitu AELB yang bertindak atas laporan Jawatankuasa Penilaian Eksekutif (ERC) mengenakan dua prasyarat untuk pembaharuan lesen operasi yang tamat pada 2 September
2019.

Dua syarat tersebut iaitu 451,000 tan Water Leached Purification Residue (WLP) perlu dikeluarkan dari premis tersebut pada atau sebelum 2 September 2019.

Selain itu, suatu pelan tindakan untuk pelupusan 1.113 juta tan Neutralization Underflow Residue (NUF) yang bukan radioaktif perlu diserahkan sebelum pembaharuan lesen boleh dipohon. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI