fbpx

Mia Nasir sedar diri, kena bersiap siaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIA NASIR

TATKALA ramai anak perantau yang galau hati kerana tidak dapat pulang meraikan lebaran di kampung halaman bersama keluarga tercinta, ada sesetengahnya pula dikira bernasib baik kerana dilahirkan di ibu kota.

Itu keberuntungan buat si cantik yang sedang semakin meningkat naik, Mia Nasir. Dia bersyukur kerana semua keluarganya menetap di Kuala Lumpur sekali gus membuatkan sambutan lebarannya tahun ini amat bermakna.

Cuma disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang belum berpenghujung, pelakon berusia 30 tahun itu mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Ramadan tahun ini tidak banyak berubah seperti tahun sebelumnya.

“Sama ada Ramadan atau Syawal, sama sahaja untuk tahun ini dan tahun lepas. Mujur keluarga memang semua di Kuala Lumpur, tidaklah sedih sangat pun walaupun tidak dapat sakan beraya seperti dahulu.

“Cuma disebabkan Covid-19 masih ada dan kes harian semakin tinggi sejak kebelakangan ini, saya jadi paranoid. Saya rasa takut untuk keluar dan pergi ke mana-mana, tambah lagi tempat sesak. Kalau nak jumpa anak buah, saya akan pastikan sebelum itu saya tidak ke mana-mana atau berjumpa dengan sesiapa,” katanya.

MIA juga merupakan adik kepada Anzalna Nasir. – FARIZWAN HASBULLAH

Karier, bisnes seiring

Mia yang merupakan adik kepada pelakon jelita Anzalna Nasir ditemui pada sesi fotografi bagi mempromosikan drama lakonannya berjudul Hati Yang Dikhianati yang kini sedang bersiaran menerusi saluran Astro Prima.

Menerusi drama adaptasi telenovela popular dari Sepanyol iaitu Mis Tres Hermanas tersebut, Mia memegang watak sebagai Syaz dan merupakan adik-beradik kepada Lisa (Isyariana), Iskandar (Zamarul Hisham) dan Batrisya (Arena Wan).

“Saya memegang watak kakak kepada dua adik perempuan. Jadi, sikapnya agak garang dan tegas. Sebab itu watak saya digelar sarjan sebab banyak berleter, tak macam diri sebenar saya di luar yang tak banyak cakap.

“Sejujurnya saya agak gementar bawa watak Syaz sebab dia seorang ibu yang ada anak kembar. Jadi pengalaman sebagai ibu dan isteri memang tiada, tetapi mujur juga sebab saya ada anak saudara kembar. Agak membantu jugalah sebenarnya,” katanya yang menyasarkan memegang watak antagonis selepas ini.

Bercakap tentang perjalanan kariernya sejak mula berlakon sekitar 2011, Mia bersyukur kerana kehadirannya diterima, namun pada masa sama tetap bersiap siaga dengan apa jua kemungkinan mendatang.

“Industri kita banyak budak baharu, jadi saya sedar kedudukan boleh berubah bila-bila masa. Sebab itu saya jadikan dunia lakonan sebagai kerjaya separuh masa. Selain berlakon, saya juga mengusahakan bisnes.

“Saya suka berlakon tetapi pada masa yang sama saya jadikan bisnes sebagai cara untuk besarkan rangkaian karier. Saya mulakan dengan lakonan dan menerusinya saya belajar mengenal sasaran untuk bisnes,” ujarnya yang mendapat pendidikan dalam bidang perniagaan di sebuah pusat pengajian di Launcenston, Australia.

SELAIN berlakon sejak 2011, Mia sebenarnya memiliki perniagaan sendiri.

Ditebak dengan cabaran sepanjang bergelumang dalam industri lakonan, pelakon itu mengakui perjalanan kariernya dipermudahkan.

Apa yang penting, dia sangat bersyukur kerana banyak mengutip pengajaran sepanjang berlakon.

“Sejujurnya, saya sangat selesa berlakon dalam industri disebabkan budaya kita. Contohnya, ada babak yang tidak perlu pun untuk rapat-rapat dengan orang lelaki.

“Malah sebagai pelakon, kami ada hak untuk bercakap tidak untuk mana-mana perkara yang dirasakan perlu. Senang kata, industri kita ada had dan tidak terlalu terbuka. Saya sangat lega dan selesa bekerja dalam bidang ini,” katanya seraya menggulung bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI