fbpx
WANITA itu terkejut bayinya selamat dilahirkan ketika tidur. - @amyedunbar/TikTok

Wanita lahirkan anak ketika tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Seorang ibu di Britain menjadi tumpuan netizen selepas berkongsi pengalamannya melahirkan anak semasa tidur, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Pengguna aplikasi sosial TikTok bernama Amy Dunbar itu berkata, dia terkejut apabila mendapati bayinya sedang terbaring di atas katil yang didudukinya sebaik memusingkan badannya.

“Saya dimasukkan ke dewan bersalin selama 12 jam dan diberikan suntikan epidural sebelum mula mengantuk dan tertidur selepas 13 jam.

“Jururawat yang menjaga saya berkata bahawa itu membuktikan suntikan epidural tersebut berkesan kerana saya tidak merasa sakit semasa hendak bersalin,” ujarnya.

Tambah Dunbar, beberapa minit kemudian jururawat tersebut mengejutkannya daripada tidur selepas mendapati denyutan jantung bayinya telah hilang berdasarkan alat pengesan denyut jantung yang diletakkan di sebelahnya.

“Namun, jururawat itu meminta agar saya tidak risau dan menyuruh saya memusingkan badan supaya dia dapat mencari denyut jantung bayi.

“Hanya menurut apa yang disuruh, saya mula mengalihkan selimut dan berpusing sambil berfikir ada sesuatu yang berlaku.

“Rupa-rupanya bayi saya telah selamat dilahirkan ketika saya sedang tidur,” cerita Dunbar.

Video perkongsian yang dimuat naik wanita itu mendapat tanda suka daripada lebih 111,000 pengguna TikTok dengan ramai yang turut meninggalkan komen pada hantaran tersebut.

“Saya berharap bayi saya nanti akan lahir begitu,” tulis seorang pengguna. – Agensi