fbpx

Malaysia, Indonesia, Brunei kecam keganasan Zionis di Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PUTRAJAYA – Tiga negara berjiran ASEAN mengecam keras keganasan terang-terangan dan pencerobohan rejim Israel yang sengaja menyasarkan penduduk awam di wilayah Palestin.

Nada tegas itu disuarakan tiga pemimpin berkenaan menerusi satu kenyataan bersama hari ini bagi merujuk insiden serangan berdarah pihak Zionis di Baitulmuqaddis Timur dan Gaza.

“Kami juga amat prihatin dengan usaha pendudukan secara haram selain pemusnahan dan perampasan kediaman penduduk Palestin di Tebing Barat oleh pendatang Yahudi,” katanya.

Kenyataan itu melibatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili Malaysia serta pemimpin dari Indonesia, Presiden Joko Widodo dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Mereka bertiga turut mengutuk pelanggaran undang-undang antarabangsa termasuk hak asasi manusia yang jelas dicabuli rejim Israel malahan disifatkan amat tidak berperikemanusiaan.

Dasar kekerasan kejam digunakan Zionis itu, kata mereka, ternyata polisi berbaur Apartheid terhadap penduduk sah di tanah berdaulat Palestin yang sengaja cuba dijarahkan secara paksa.

Justeru, tiga tokoh itu menggesa semua pihak terlibat melaksanakan gencatan senjata dan mengambil langkah menghentikan serangan ke atas orang awam berdasarkan norma sejagat.

“Kami mendesak kedua-dua pihak menerima kehadiran wakil antarabangsa di Baitulmaqdis, untuk memantau proses perdamaian dipatuhi tanpa ada lagi pelanggaran jelas,” katanya.

Pada masa sama, mereka bertiga turut meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera mengambil langkah bagi menjamin keselamatan warga Palestin.

Ini termasuk mengingatkan badan dunia itu mempunyai tanggungjawab khas untuk menuntut dihentikan semua keganasan dan memenuhi tanggungjawab menegakkan keamanan kekal.

Di samping itu, mereka turut menyarankan Perhimpunan Agung PBB agar mengadakan sesi tergempar bagi menangani situasi serius tersebut dengan resolusi perdamaian dan menamatkan krisis.

“Kami juga menyeru masyarakat antarabangsa tegas menzahirkan komitmen penuh pertahan penyelesaian dua-negara berdasarkan sempadan sebelum 1967,” kata kenyataan itu lagi.

Usaha digerakkan itu, jelas mereka, turut meliputi pengiktirafan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin yang merdeka demi proses keamanan berkekalan di rantau Timur Tengah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI