fbpx
AINA Abdul

Aina beraya sendirian, terkenang arwah ayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kenangan meraikan Aidilfitri bersama ayah terpahat kukuh dalam sanubari penyanyi Aina Abdul biarpun insan kesayangannya itu telah 12 tahun meninggal dunia.

Kata penyanyi Sumpah itu, dahulu setiap kali raya, arwah bapa menjadi penggerak sesi ziarah mereka sekeluarga dari kampung di Negeri Sembilan hingga melawat kenalan di Johor untuk merapatkan silaturahim.

“Kenangan itu tidak mungkin luput. Ayah sedia mengatur rancangan untuk ke rumah siapa sebelum 1 Syawal lagi. Kami pun seronok dapat berjalan ke rumah lama kami di Johor Bahru.

“Boleh dikatakan itulah tradisi kami sekeluarga. Asalnya saya dilahirkan dan dibesarkan di Johor Bahru tetapi selepas itu ayah bertukar kerja di Seremban.

“Hari raya memang kami tunggu sebab selain mengunjungi sanak saudara dan kawan lama, kami turut singgah rumah lama kami mengimbas nostalgia.

“Walaupun sebelum ayah pergi dia perlu menggunakan kerusi roda akibat penyakit kencing, semangatnya tetap kuat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini lebih berbeza daripada tahun lalu, penyanyi berusia 28 tahun itu hanya membuat persiapan sederhana memandangkan tinggal bersendirian di Kuala Lumpur.

Katanya, jika tahun lalu dia dapat meraikan 1 Syawal bersama adik beradiknya, kali ini kediaman bujangnya semakin sunyi selepas masing-masing berpindah ke Seremban.

“Hari raya tahun lalu tidaklah terasa sangat sebab adik-beradik tinggal bersama saya, namun selepas mereka bekerja di kampung. Tinggallah saya sendirian.

“Persiapan saya pun ala kadar. Cukup dengan menempah rendang dan ketupat palas secara online sebagai juadah pagi raya. Sudah tentu masakan emak paling saya rindu.

“Apa pun saya reda kerana ‘perpisahan’ ini adalah untuk memutuskan rantaian Covid-19. Kita beraya dalam norma baharu ini perlu kreatif, jadi panggilan video berkumpulan jadi pengubat rindu,” ulas penyanyi itu lagi.

Enggan terus tenggelam dalam emosi, pemilik nama sebenar Nur Aina Abdul Ghani itu terharu apabila lagu raya ciptaannya, Syukur Lebaran diterima ramai. – K! ONLINE

POPULAR