fbpx

Semangat Aidilfitri Intan Harris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTAN LADYANA dan Harris.

TANGGAL 5 Februari lalu menjadi hari paling bermakna buat pasangan popular, Intan Ladyana dan Harris Alif. Hanya dengan sekali lafaz, penyatuan cinta dua sejoli sama cantik sama padan itu terpateri apabila disatukan menerusi ikatan suci bernama pernikahan.

Paling istimewa, tahun ini juga buat pertama kalinya mereka menyambut lebaran bersama selepas sah bergelar pasangan suami isteri.

Solekan dan rambut @elmandazuhairy l Busana @hijabista.hub

Berpeluang menemui pasangan romantis itu sewaktu penggambaran edisi Aidilfitri baru-baru ini, Harris dan Intan sepakat menyifatkan lebaran yang bakal tiba sebagai momen terindah buat mereka.

Ujar Harris, 22, walaupun sudah dua tahun umat Islam menyambut perayaan dalam norma serba baharu disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda, namun langsung tidak pernah memadam sedikit pun semangat lebarannya.

“Kalau bercakap soal keterujaan, saya insan yang paling gembira. Manakan tidak, ini tahun pertama saya beraya bersama isteri tercinta.

“Secara tidak langsung, ini juga merupakan kali pertama saya beraya dengan status baharu iaitu suami,” katanya penuh teruja saat membuka bicara bersama HibGlam.

Tambah pemilik nama lengkap Nor Harris Alif Nor Rashidi itu, walaupun sudah terang lagi bersuluh aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan sekali gus membatalkan hasratnya dan isteri untuk beraya di Pulau Pinang, namun lebaran tetap akan disambut seperti biasa.

Pengacara itu memberitahu, tahun ini mereka akan menyambut Syawal secara sederhana di rumah keluarganya di Kuala Lumpur dan akan lebih banyak menghabiskan masa bersama kedua-dua ibu bapa tercinta.

LEBARAN tahun ini disifatkan sebagai paling terindah buat Harris dan Intan apabila pertama kali menyambutnya sebagai suami isteri. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Rezeki tak putus

Menyambung perbualan, Harris memberitahu, dia dan isterinya akan memasuki set penggambaran selepas Aidilfitri nanti bagi sebuah telefilem terbaharu berjudul Rehal Yang Patah.

“Secara kebetulan ini akan menjadi naskhah lakonan pertama kami digandingkan sebagai suami isteri.

“Perasaannya sangat berbeza lebih-lebih lagi saya sendiri sudah lama tidak masuk ke set penggambaran sebagai pelakon,” ujarnya teruja.

Jelas penyanyi lagu Permaisuri itu lagi, selain telefilem, dia juga akan menyambung penggambaran sebuah program pencarian wira-wira muda, Generasi Z yang dihoskannya bagi musim kedua nanti.

HARRIS dan Intan tidak meletakkan jangka masa tertentu untuk memiliki zuriat.

Sementara itu ketika diajak berkongsi sedikit mengenai perjalanan karier, Intan pula memberitahu selain bergandingan bersama suaminya, dia juga akan turun ke set penggambaran bermula Jun depan.

“Bagi saya, lebaran tahun ini agak lama juga saya dapat berehat dan ambil cuti.

“Walaupun lama, tetapi saya lebih memilih untuk kekal duduk di rumah sahaja dan mengehadkan waktu berada di luar jika tiada apa-apa urusan penting,” katanya.

Tambah pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, 39, itu, walaupun sudah bernikah dan lama bergelar anak seni, namun tawaran lakonan untuknya tidak pernah putus hingga ke hari ini.

SELAIN aktif dalam dunia seni, Harris dan Intan akan muncul dengan produk penyembur badan dan cecair pembasmi kuman berjenama Anugerah by Harris & Intan usai Aidilfitri nanti.

Berusaha, doa

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan untuk dikurniakan cahaya mata sekali gus bergelar ibu dan bapa kepada zuriat yang dianugerahkan Maha Esa kelak.

Begitu juga dengan Harris dan Intan, mereka langsung tidak meletakkan sebarang jangka masa tertentu untuk memiliki zuriat suatu hari nanti.

Bagi Harris yang juga pernah dinobatkan sebagai juara Idola Kecil musim ketiga, dia dan isteri tidak terlalu mengejar soal zuriat. Bagaimanapun pasangan itu tidak menolak seandainya dikurniakan rezeki cahaya mata pada bila-bila masa.

“Kami pun tidaklah merancang soal anak sangat. Bila-bila masa saja kami bersedia untuk ada zuriat selepas ini.

“Tiada sebarang tempoh masa atau ketetapan untuk itu,” ungkapnya yang kini sibuk mencari material dan sentuhan komposer bersesuaian bagi lagu terbaharunya nanti.

Senada dengan Harris, Intan turut menyatakan kesediaan untuk bergelar seorang ibu walaupun masih banyak urusan dan komitmen berkenaan kerjanya yang perlu diselesaikan ketika ini.

“Benda itu (zuriat) semua kerja Allah. Kalau Dia nak bagi kami awal, awal jugalah kami jadi ibu bapa. Semua itu adalah rezeki dan ketentuan-Nya.

“Apa yang jelas, saya dan Harris sejujurnya sudah betul-betul bersedia untuk ke fasa itu (bergelar ibu dan bapa). Tunggu dikurniakan rezeki sahaja tidak kisahlah sama ada cepat ataupun lambat,” tuturnya tersenyum menyimpulkan bicara.

BIARPUN terpaksa beraya dalam norma baharu dan tidak semeriah seperti sebelum ini, pasangan romantis ini tetap meraikannya secara sederhana dan ringkas.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI