PUTRAJAYA – Kerajaan masih belum menerima sebarang maklumat dari kerajaan Arab Saudi berhubung larangan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini ekoran peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat mengenai situasi itu dalam masa terdekat.
“Buat masa ini saya tak dapat nak maklumkan bila jangkaan keputusan ini akan diperoleh.
“Belum lagi (dimaklumkan). Nanti saya akan dapatkan maklumat (dari kerajaan Arab Saudi) dalam masa terdekat. Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dana Maybank Mixed Assets-I Waqf di Lobi Blok A, Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh; Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Sdn. Bhd., Ahmad Najib Nazlan dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Ruslan Said. – K! ONLINE