PETALING JAYA- Gambaran suasana hari pertama pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sohor kini di Twitter apabila orang ramai mula berkongsi pengalaman mendapatkan suntikan itu.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! di Twitter, #CucukMYAZ menjadi sohor kini di laman media sosial itu dengan mendapat ciapan lebih 1,243 kali.
Berkongsi pengalaman mendapat suntikan AstraZeneca, seorang pengguna Twitter, @nic_kow berkata, proses penerimaan vaksin mengambil masa kurang daripada sejam selain orang ramai menunjukkan semangat tinggi.

“Saya telah menerima vaksin, ia mengambil masa kurang daripada sejam dan orang ramai memberikan semangat yang baik.
“Terima kasih kepada semua termasuk sukarelawan dan doktor yang telah mengelola pemberian lebih 200,000 vaksin dalam masa 48 jam,” ciapnya tadi.
Sementara itu, @rincredible berharap agar proses suntikan vaksin buat individu terlibat berjalan dengan lancar.
“#CucukMYAZ bermula hari ini, harap semuanya baik sahaja dan berjalan lancar buat mereka yang mengambilnya,” jelasnya.
@Zahid_adenan menjelaskan, suasana di pusat suntikan vaksin sedikit sesak apabila orang ramai mula berkumpul untuk mendapatkannya.
“Suasana agak sesak tapi semuanya baik-baik sahaja kerana petugas meminta orang ramai untuk mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjelaskan pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela akan diperluaskan ke seluruh negara.
Pendaftaran mendapatkan vaksin itu secara sukarela menyaksikan semua 268,000 dos telah dipenuhi dalam tempoh tiga jam oleh penduduk sekitar Lembah Klang. -K! ONLINE














