fbpx

Janna Nick masih jalani rawatan dengan pakar sakit jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JANNA Nick

PETALING JAYA – Pelakon terkenal Janna Nick mendedahkan bahawa dia kini masih lagi menjalani rawatan dengan pakar sakit jiwa berhubung dengan masalah gangguan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 26, berkata, setiap minggu dia akan berjumpa dengan doktor pakar sakit jiwa untuk mendapatkan rawatan susulan berhubung masalah tersebut.

“Saya masih menjalani rawatan dengan pakar sakit jiwa dan akan berjumpa dengan doktor pada setiap minggu.

“Alhamdulillah, keadaan saya baik kerana sekarang berada di bawah pengambilan ubat-ubatan,” ujarnya.

Bagaimanapun pelakon drama Marry Me Senorita itu berkata, dia berdepan sedikit kesukaran selepas mengambil ubat-ubatan terutama ketika bekerja kerana kesannya akan membuatkan dia berasa mengantuk dan tenang.

“Ada sedikit kesukaran kerana ubat tersebut tidak sesuai diambil ketika saya sedang bekerja. Kesannya akan membuatkan saya tenang dan berasa mengantuk.

“Sebab itu sudah tiga kali saya tukar ubat,” kata Janna ketika ditemu bual semasa Google Meet Program Raya TV3 yang dibuat secara virtual hari ini.

Dalam pada itu, teman wanita kepada pelakon tampan, Dini Schatzman itu berharap untuk menjadi individu normal seperti orang lain tanpa perlu bergantung dengan pengambilan ubat-ubatan.

Disoal tentang keadaan dan penerimaan keluarganya selepas Janna membuat pendedahan tersebut, dia memaklumkan bahawa ahli keluarga terutama ibunya agak terkejut dengan pendedahan itu.

“Jujurnya keluarga memang terkejut. Mereka tidak jangka pendedahan tersebut. Tapi sebenarnya keluarga tahu tentang beberapa cubaan saya untuk membunuh diri suatu ketika dahulu,” ujarnya.

Jelas Janna lagi, individu yang mengalami masalah bipolar sebenarnya adalah disebabkan ketidakseimbangan kimia dalam otak seseorang.

“Selepas mengambil ubat-ubatan baru saya tahu bagaimana manusia normal berfikir. Sebab selama ini saya ingatkan bahawa saya sama seperti individu lain (normal).

“Tapi ternyata, apabila melibatkan masalah kesihatan mental, kita sebenarnya tidak nampak. Maka kita kena faham masalah ini disebabkan ketidak seimbangan kimia dalam otak,” katanya.

Justeru, Janna telah mengambil pendekatan untuk memberi penerangan kepada adik-adiknya supaya mereka faham situasi dan masalah yang dilaluinya.

“Mak saya akhirnya faham masalah ini (kesihatan mental) bukan perkara yang dibuat-buat,” katanya.

Terdahulu Janna mendedahkan dia mengalami masalah gangguan bipolar selain mengaku pernah membuat cubaan bunuh diri ketika berusia 14 dan 15 tahun.

Janna menerusi satu hantaran dalam Instagramnya berkata, dia kini bergantung pada ubat anti kemurungan sejak hampir sebulan lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI