Oleh NUR NABILAH RAHMAT
KLUANG – Dua ekor gajah ditemui mati dipercayai akibat termakan racun dalam sebuah kebun sayur berhampiran Empangan Kahang, di sini petang semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, hasil siasatan awal mendapati bangkai dua ekor gajah betina itu dianggarkan berumur antara lima hingga enam tahun.
Katanya, berdasarkan keadaan bangkai kedua-dua ekor gajah tersebut disyaki telah mati dalam tempoh satu atau dua minggu.
“Lebih kurang pukul 5 petang semalam, pihak Jabatan Perhilitan Negeri Johor telah menerima aduan awam berkaitan dengan penemuan bangkai dua ekor gajah tersebut.
“Tiada kesan tembakan ditemui pada badan atau kepala gajah.
“Gajah yang terlibat adalah dari kumpulan gajah Tenggara yang dianggarkan sebanyak 25 hingga 30 ekor yang sering berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan bagi mencari makan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya telah menjalankan proses pengambilan beberapa sampel bagi mengenalpasti punca sebenar kematian gajah tersebut sebelum bangkai gajah dilupuskan secara ditanam di kawasan berdekatan.-K! ONLINE














