fbpx

Pantau gejala sakit kepala, lebam lepas terima  AstraZeneca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sakit kepala luar biasa dan kesan lebam pada kulit antara gejala yang perlu diberi perhatian para penerima vaksin AstraZeneca dalam tempoh antara empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksin Covid-19 tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera jika mereka mengalami sakit kepala luar biasa disertai dengan pandangan kabur, loya dan muntah serta sukar bertutur, lemah, mengantuk atau sawan.

Beliau berkata, gejala lain termasuklah sakit kepala teruk yang tidak berkurangan dengan ubat tahan sakit dan sakit kepala semakin teruk apabila berbaring atau semasa membongkok.

“Selain itu mungkin ada gejala lain seperti bintik-bintik kecil pada kulit atau berlaku pendarahan selain sukar bernafas, sakit dada, bengkak pada kaki atau sakit perut yang berterusan.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memantau tahap kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala-gejala berkenaan dalam masa tempoh empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksin AstraZeneca,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adham berkata, pengamal perubatan perlu membuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan sama ada gejala yang ditunjukkan adalah disebabkan pembekuan darah.

Beliau berkata, pengamal perubatan yang merawat kes tersebut juga pula perlulah menyiasat sama ada kes telah menerima vaksin dalam masa 30 hari sebelum gejala bermula.

“Sehubungan itu, pemeriksaan-pemeriksan berkaitan termasuk pemeriksaan darah dan radiologi perlu dijalankan dengan seberapa segera.

“Rawatan serta-merta perlu diberikan jika keputusan ujian menunjukkan pembekuan darah benar-benar berlaku,” katanya.

Tambahnya, pakar hematologi juga perlu dihubungi dengan segera untuk mendapatkan khidmat nasihat.

“Pengamal perubatan juga perlu membuat laporan Adverse Event Following Immunisation (AEFI) kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara,” ujarnya.

Adham berkata, Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau kejadian darah beku dengan pelaksanaan pemberian vaksin AstraZeneca kepada orang ramai secara sukarela yang dijangka bermula esok.

Katanya, pihak kementerian juga memberi jaminan bahawa rawatan segera akan diberikan jika kes darah beku susulan pemberian vaksin tersebut benar-benar berlaku. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI