fbpx

Kadar penggunaan katil capai 90 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Kadar penggunaan katil rawatan kritikal/Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 terkini di Lembah Klang secara purata keseluruhan mencapai 90 peratus pada pagi ini berdasarkan statistik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal/ICU dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati telah melebihi ambang amaran (alert threshold) kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus.

“Ia melibatkan Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang iaitu ada di antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.

“Manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal/ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau di sini hari ini.

Beliau berkata, Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal /ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun lepas lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

“Pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19,” katanya.

Ujarnya lagi, ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat lebih kritikal bagi perawatan pesakit Covid-19.

“KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.

“Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui.

“Penyumberluaran ini telah pun dilaksanakan sejak gelombang kedua pada tahun lepas dan masih diteruskan sehingga kini,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 ini berterusan, kapasiti kesihatan akan berada pada tahap kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

“Justeru, masyarakat diseru untuk bersama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM bagi memutuskan rantaian jangkitan di negara ini.

“Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI