fbpx

JDT gagal bangkit ke landasan kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasukan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur gagal menjinakkan Kuala Lumpur (KL) City FC apabila seri 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan hasrat skuad bimbingan Benjamin Mora tersebut untuk kembali ke landasan kemenangan gagal direalisasikan selepas mereka tewas 0-1 kepada Terengganu FC minggu lalu.

Dalam saingan itu, JDT lebih banyak menguasai permainan di bahagian tengah pada aksi babak pertama selain turut mempunyai dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol menerusi Leandro Velazquez dan Gonzalo Cabrera.

Malangnya, percubaan kedua-dua tonggak import Harimau Selatan itu sekadar terkena tiang dan palang gol pada minit ke-16 serta 38.

Sebaliknya, KL City yang berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Romel Morales selepas menewaskan penjaga gol JDT, Mohd. Farizal Marlias dalam situasi satu lawan satu pada hujung babak pertama.

Asakan bertali arus JDT di separuh masa kedua akhirnya membuahkan hasil apabila Hariss Harun berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Muhammad Nazmi Faiz Mansor untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-55.

Bagaimanapun, juara Piala AFC 2015 itu dilihat bergelut untuk merencanakan serangan terutama selepas penjaring terbanyak mereka, Bergson Da Silva dikawal ketat pemain-pemain pertahanan KL City.

Kemasukan bintang sensasi Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid juga gagal membantu JDT yang terpaksa akur sekadar membawa pulang satu mata apabila kedudukan tamat dengan keputusan 1-1.

Biarpun seri, status JDT sebagai pendahulu Liga Super selepas 11 perlawanan masih tidak tergugat walaupun mereka cuma berkelebihan satu mata terhadap pasukan tempat kedua, Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Ia selepas Kedah berjaya merakam kemenangan 3-1 ke atas Melaka United dalam satu lagi aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Hang Jebat sebentar tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI