fbpx

MAFI sasar pengeluaran 3,336 tan mentrik harumanis tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEPANG – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Jabatan Pertanian menyasarkan pengeluaran mangga harumanis sebanyak 3,336 tan metrik dengan nilai RM66.7 juta di Perlis, pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, daripada jumlah itu, dianggarkan sekitar 50 peratus akan dijual secara dalam talian melalui platform e-dagang seperti airasia food, airasia fresh dan agrobazaar online.

“Dengan langkah ini secara tidak langsung, ia turut memberi peluang kepada lebih ramai peniaga untuk menyertai aktiviti mempromosikan industri agro makanan ini, menerusi platform e-dagang yang tersedia,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis flag-off harumanis ke Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Airasia Group, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group, Tan Sri Tony Fernandes.

Ronald berkata, industri harumanis bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan kepada 2,415 pengusaha buah mangga itu di Perlis, malah mempunyai impak besar terhadap ekonomi serta industri agro pelancongan dan rantaian bekalan di seluruh negara.

Dalam masa sama, Ronald turut menggalakkan penglibatan lebih banyak syarikat swasta dalam bersama-sama memacu industri harumanis yang dilihat berpotensi tinggi seperti yang dilakukan
anak syarikat Airasia, airasia farm.

“MAFI berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan sektor swasta seperti airasia farm untuk mempromosi kempen ‘Harumanis Kembali Lagi.

“Kerjasama itu bukan sahaja akan memperluas pengedaran harumanis ke seluruh Malaysia tetapi juga membawa buah mangga yang cukup eksklusif ini ke Sabah secara rasmi buat pertama kalinya sejajar dengan penekanan kementerian terhadap sektor pertanian bernilai tinggi yang dapat mewujudkan peluang ekonomi untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Tony Fernandes berkata, penghantaran pertama harumanis sebagai komoditi eksport adalah dengan memanfaatkan ekosistem dan teknologi kumpulan airasia seperti Teleport, dan penggunaan platform e-dagang oleh airasia food dan airasia fresh.

“Kami sentiasa berusaha menerokai perniagaan dalam pelbagai cara dan projek ini adalah berterusan bagi Airasia dalam mempromosikan produk makanan Malaysia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI