KEHIDUPAN ibarat musnah sekelip mata apabila ditangkap polis lalu disumbat ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) akibat ketagihan dadah.
Itulah antara balasan yang perlu diterima mereka yang membiarkan diri dipengaruhi najis dadah yang menyalahi undang-undang.
Lebih mencabar lagi, mereka bakal berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dan berhadapan persepsi negatif orang sekeliling seumur hidup mereka.
Namun, golongan bekas penagih ini bernasib baik apabila diberikan peluang kedua melalui Program Hijrah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan Orang Kena Pengawasan (OKP) serta mereka yang dibebaskan dari PUSPEN mendapat peluang kedua.
Di AADK Daerah Tampin misalnya, tiga klien atau bekas penagih diberikan peluang mengusahakan Projek Cendawan Tiram bermula 2 Mac lalu bagi membolehkan mereka berdikari dan menjana pendapatan menerusi aktiviti kemahiran sepanjang menjalani program rawatan serta pemulihan di Pusat Integrasi Klien (PIK) Tampin.

Projek berkenaan telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon pada 9 Mac lalu.
Salah seorang klien yang hanya dikenali sebagai Fitri, 31, menyatakan masanya kini terisi dengan aktiviti berfaedah selepas ditempatkan di PIK Tampin selain mendapat peluang pekerjaan di kilang berhampiran.
Menurut lelaki berasal dari Lembah Klang itu, dia dan dua rakannya juga dipertanggungjawabkan mengusahakan 650 bongkah cendawan tiram yang bakal memberikan pulangan lumayan buat mereka bertiga.
“Sebelum ditangkap pada tahun 2019, saya bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selama lebih empat tahun.
“Bila ditangkap dan disabitkan kesalahan serta dimasukkan ke PUSPEN Tiang Dua, Melaka, saya sudah kehilangan pekerjaan,” katanya kepada K2.
Menurutnya yang terjebak najis dadah susulan pengaruh rakan sekampung, sejak ketagihan dadah jenis ais (syabu), dia mula tidak memberikan wang kepada ibunya.
“Sebelum itu saya boleh beri mak duit RM300 setiap bulan tapi bila dah ketagihan dadah, saya berhenti beri wang pada mak.
“Malah, sepanjang lebih setahun terbabit dadah, sebanyak RM24,000 duit simpanan saya lebur begitu sahaja untuk membeli dadah,” katanya.
Menurutnya, dia kini berhasrat untuk bergelar usahawan cendawan tiram dan kembali memberikan duit kepada ibunya dengan hasil daripada projek berkenaan.
Bagi seorang lagi bekas penagih, Amat, 32, peluang menyertai projek berkenaan banyak membantunya lebih fokus ke arah bidang usahawan tani tanpa memikirkan hal yang boleh menjerumuskannya ke arah penagihan semula.

Menurut anak kelahiran Kedah itu, sekiranya projek berkenaan mendapat sambutan dan mempunyai ramai pembeli, dia akan lebih serius dalam menjadikan projek berkenaan sebagai sumber pendapatan utama.
“Bidang sebegini memang kena dengan jiwa saya. Ini peluang kedua saya untuk berubah dan kembali berbakti kepada ayah dan juga menjalankan tanggungjawab sebagai anak sulung bagi tiga beradik. Mak pun dah meninggal dunia.
“Sebelum ini, saya salah gunakan duit pemberian ibu dan ayah untuk mendapatkan bekalan dadah jenis ganja. Masa tu sekurang-kurangnya saya perlukan sebanyak RM100 seminggu untuk membeli dadah,” cerita Amat.
Sementara itu, Pengusaha Cendawan Tiram Gadek, Mohd. Syukor Ahmad berkata, projek berkenaan juga merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya, Sinar Syukrawie Enterprise dalam membantu golongan bekas penagih dadah mendapat kemahiran dalam aktiviti ushawan tani.
Syarikat itu bertanggungjawab membimbing bekas-bekas penagih ini dalam tanaman tersebut selain membekalkan bahan tanaman.

Menurutnya, projek cendawan tiram tidak memerlukan ruang yang besar dan boleh memberikan pulangan minimum sebanyak RM2,550 bagi satu musim dalam tempoh lima bulan bagi 1,000 bongkah.
“Kalau kena penjagaannya dalam tempoh 45 hari dari projek bermula, setiap satu bongkah cendawan akan dapat menghasilkan sekitar 170 gram (g) ke 200g hasil dengan harga pasaran RM15 bagi satu kilogram.
“Bagi kami yang sudah lebih 10 tahun terlibat dalam projek cendawan tiram, projek CSR ini sangat penting dan cukup bermakna dalam memberikan galakan kepada bekas penagih untuk membina kembali kehidupan mereka yang musnah akibat dadah.
Menurutnya, bukan mudah bekas penagih untuk mencari pekerjaan dan menjadi tanggungjawab syarikat sepertinya memberi peluang kedua kepada golongan berkenaan untuk berubah menjadi lebih baik.
“Kita akan berikan khidmat nasihat membabitkan penjagaan projek hinggalah memasarkan produk berkenaan. Malah, kami juga bersedia berkongsi resipi pekasam cendawan sebagai produk bagi projek ini,” katanya.
Mohd. Syukor yang mempunyai tujuh unit rumah cendawan tiram dengan jumlah bongkah melebihi 84,000 berpendapat, projek di AADK Tampin berkenaan mampu diperluas ke daerah lain dan seterusnya memberi kemahiran baharu buat bekas-bekas penagih untuk berdikari dengan aktiviti pertanian sayuran organik selepas tamat menjalani rawatan dan pemulihan.
















