fbpx

“Tiada maaf bagi mu” – Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang masih ingkar mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang bermula kelmarin.

Tindakan itu termasuk me­ngenakan denda atau kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2018.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tiada alasan peniaga untuk menaikkan harga ayam atau barang-barang lain melebihi harga ditetapkan sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP itu.

Menurutnya, ini kerana bekalan barang di seluruh negara termasuk ayam mencukupi sepanjang Ramadan dan juga selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Jadi tiada alasan bagi pengusaha dan peniaga untuk tidak mematuhi harga ayam yang ditetapkan dalam SHMMP.

“Pada peringkat awal, KPDNHEP akan memberi peringatan kepada peniaga supaya mematuhi SHMMP, namun jika mereka masih berdegil, tindakan atas kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum akan dikenakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pematuhan peniaga sempena SHMMP di MyFarm Outlet Presint 9 di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mohamad Mustahapa Awang dan Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam.

Alexander berkata, pihak­nya juga tidak bercadang untuk mengkaji semula harga kesemua 12 jenis barangan yang disenaraikan dalam SHMMP kerana perkara itu telah dibincangkan serta dipersetuju pelbagai agensi serta pihak termasuk peniaga.

Disebabkan itu, beliau menafikan harga maksimum daging dan ayam yang ditetapkan kerajaan seolah-olah membunuh peniaga.

“Harga bagi setiap daripada 12 item itu telah ditetapkan di setiap peringkat, daripada runcit hingga borong.

“Sebab itu, peruncit tidak sepatutnya kehilangan margin atau keuntungan mereka kerana kami sudah teliti secara mendalam dan pastikan peniaga tidak akan terjejas,” ujarnya.

Alexander berkata, perbincangan pihak kementerian dengan beberapa pengeluar ayam terbesar juga mendapati, jaminan bekalan ayam segar mencukupi selepas musim pera­yaan.

“Selepas mengadakan konsultasi dengan beberapa penternak ayam, mereka memberi jaminan bekalan ayam mencukupi sehingga selepas Aidilfitri,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan para peniaga di seluruh negara didapati tidak mempedulikan arahan kerajaan untuk mematuhi SHMMP 2021 apabila tetap menjual barangan basah melebihi harga siling.

Tinjauan mendapati, peniaga meletakkan harga sehingga RM40 sekilogram daging, manakala RM9 untuk ayam dengan alasan masih mene­rima bekalan pada harga tinggi daripada pembekal.

Harga siling SHMMP untuk ayam standard dan daging lembu tempatan ditetapkan RM7.90 dan RM34 sekilogram.

Di bawah Akta Kawalan Harga itu, individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-­duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikopaun maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI