fbpx

Fattah Amin menang trofi aktor terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FATTAH AMIN kini Pelakon Lelaki Terbaik World Film Carnival (WFC) Singapore 2021.

PETALING JAYA – Sedekad dalam industri seni, pelakon Fattah Amin melakar sejarah peribadi apabila lakonan dalam filem seram, Miimaland berjaya menobatkan namanya sebagai Aktor Terbaik dalam World Film Carnival (WFC) Singapore 2021.

Kemenangan Fattah itu diumumkan menerusi laman sesawang WFC Singapore 2021, malam tadi.

Mengulas tentang kemenangannya itu, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin, 31, meluahkan rasa terkejut dengan kejayaan yang tidak pernah dimimpikan dalam hidupnya selama ini.

“Saya dimaklumkan mengenai kemenangan itu oleh pihak pengurusan. Sebaik sahaja melihat nama tertera sebagai pemenang kategori Aktor Terbaik, saya jadi terkejut. Memang saya tidak sangka.

“Secara jujur, masih banyak lagi yang perlu saya belajar daripada bidang lakonan. Ini bukanlah yang terbaik kerana masih ada filem saya belum ditayangkan dan saya tidak sabar untuk menyaksikan hasilnya. Bagaimanapun, saya anggap kemenangan ini rezeki kerana ini adalah julung kali lakonan saya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam nada teruja.

Menurut penyanyi lagu Kiriman Agung itu, kemenangannya tersebut juga mencatat momen manis buat filem Miimaland yang sebelum ini banyak merangkul anugerah di festival filem luar negara.

“Miimaland sebelum ini pernah memenangi beberapa anugerah di festival filem luar negara. Awal bulan ini, naskhah ini dinobatkan sebagai Filem Seram Terbaik pada AltFF Alternative Film Festival Spring 2021 di Toronto, Kanada.

“Karya sentuhan Nevin Hiong ini juga berjaya menggondol trofi Pengarah Terbaik selain menjadi finalis bagi kategori Sinematografi Terbaik,” ujar Fattah.

Berkongsi mengenai watak dibawa dalam Miimaland, Fattah menjelaskan karakter Ariel sangat berbeza dan memerlukannya bermain emosi.

“Ini adalah filem seram pertama lakonan saya. Cabarannya adalah bagaimana mahu bermain dengan emosi dan pemahaman terhadap sesuatu karakter itu. Selain itu, berikutan genre filem ini seram, kebanyakan penggambarannya dibuat pada waktu malam dan lokasinya dalam hutan.

“Suasana itu sendiri memberikan pengalaman baharu buat saya. Gangguan mistik ketika penggambaran juga menjadi antara cabaran yang terpaksa dihadapi ketika membintangi filem ini,” dedah pemegang Ijazah Pengurusan Industri Kreatif Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Kemenangan Fattah juga disifatkan sebagai epitome kepada semua kerja kuat dan kesungguhan yang selama ini tidak digembar-gemburkan.

Untuk rekod, WFC sebuah festival yang menjadi medium untuk menyokong pembikin filem bebas mengembangkan karier dengan mempamerkan karya di platform global. Festival tersebut juga menjadi platform buat para pelakon dan karyawan filem terkenal di seluruh dunia berkumpul dan bertukar idea. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI