fbpx
Gambar hiasan

K2

Suami aturan keluarga tak teruja timang anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELANGSUNGKAN perkahwinan dengan calon yang diatur keluarga bukanlah menjadi masalah bagi seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Ila.

Akui Ila, dia merupakan seorang wanita yang pemalu dan langsung tidak pernah menjalinkan hubungan percintaan dengan mana-mana lelaki.

“Apabila ada ahli keluarga yang cuba menjodohkan saya dengan calon pilihan mereka, saya pun terima sahaja memandangkan umur saya juga semakin lanjut.

“Mereka menyatakan kepada saya bahawa calon yang dijodohkan dengan saya ini seorang lelaki yang baik dan memiliki kerjaya yang stabil,” katanya yang membuka bicara kepada K2 tentang permulaan episod derita dalam hidupnya.

Tambahnya, mereka berdua kemudian berkenalan dan hanya bertemu beberapa kali sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama.

Setelah berkahwin, Ila yang merupakan seorang penjawat awam mengikuti suaminya yang bekerja sebagai jurutera untuk menetap di ibu kota.

Apabila tinggal bersama, barulah Ila mengetahui bahawa suaminya itu seorang yang gemar bermain permainan video dalam talian atau online game.

“Di rumah, boleh saya katakan masanya dihabiskan untuk bermain game.

“Kadangkala dia akan tidur lewat malam semata-mata untuk bermain game secara online.

“Ada masanya saya telah siapkan makanan untuk makan bersama, tetapi akhirnya saya hanya makan bersendirian kerana dia masih dengan permainan tersebut,” jelasnya.

Beberapa bulan selepas berkahwin, Ila disahkan mengandung. Ila begitu gembira kerana akan dikurniakan cahaya mata tetapi suaminya langsung tidak menunjukkan rasa keterujaan untuk menjadi seorang ayah.

Sepanjang mengandung, dia menjelaskan, suaminya itu tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami yang baik.

Ila berhadapan dengan alahan yang teruk sewaktu hamil dan ada masanya dia hanya bersendirian ke hospital untuk melakukan pemeriksaan sedangkan suaminya itu ada di rumah.

“Saya minta ibu saya untuk datang dan tinggal bersama kami bagi membantu saya sepanjang mengandung serta melahirkan anak.

“Apabila ibu saya datang, suami saya sememangnya melepaskan tanggungjawabnya dan langsung tidak menguruskan anak dia yang saya lahirkan,” bicaranya.

Tambahnya, ada ketika mereka berdua bergaduh antara satu sama lain. Ila begitu terasa hati apabila suaminya sanggup menengkingnya apabila mereka bergaduh.

Dalam pada itu, Ila mengakui dia penat menguruskan rumah tangga mereka apabila dia sahaja yang mengambil berat akan hal anak.

 

 

PULANG dari kerja, suami Ila hanya banyak menghabiskan masa dengan bermain permainan video di telefon bimbit tanpa mengambil tahu hal rumah tangga dan anak. – Gambar hiasan

“Saya seorang sahaja yang menguruskan anak daripada hantar dia ke tempat pengasuh dan kemudian mengambilnya apabila pulang bekerja.

“Suami saya akan bermain dengan anak sekejap sahaja. Ada ketika sewaktu saya sedang memasak di dapur dan anak menangis, suami saya itu langsung tidak mempedulikannya dan dia hanya tahu membuat halnya sendiri dan bermain game,” katanya.

Sementara itu, dua tahun selepas mendapat cahaya mata pertama, Ila disahkan mengandung sekali lagi. Ila menjelaskan, dia dan suaminya tidak merancang untuk menambah anak lagi pada waktu itu, tetapi dia gembira dengan rezeki mendapat cahaya mata kedua.

“Sama seperti mengandung anak pertama, suami saya masih mempunyai perangai yang sama, dia langsung tidak mempedulikan saya.

“Kali ini saya melarang ibu saya untuk datang menemani saya dengan harapan suami saya menjadi lebih bertanggungjawab,” katanya.

Sepanjang kehamilan itu, mereka sering bergaduh dan apa yang lebih melukakan hati Ila adalah apabila suaminya itu mengatakan anak yang dikandungkan itu bukan anaknya.

Mereka bergaduh besar pada ketika itu sehingga pada waktu yang sama suaminya melafazkan talak satu kepadanya.

Ila amat terkejut pada waktu itu. Ketika usia kandungan memasuki empat bulan dia diceraikan oleh suaminya itu.

Setelah melafazkan talak, suaminya langsung tidak menyuarakan hasrat atau memujuknya untuk mereka rujuk semula.

“Jika suami saya berjanji untuk berubah dan memujuk saya untuk rujuk semula, saya mungkin boleh menerimanya kembali.

“Tetapi sebaliknya dia langsung tidak berbuat apa-apa sehingga akhirnya kami sah bercerai di mahkamah syariah,” katanya.

Setelah bercerai, Ila mengambil keputusan untuk memohon pertukaran tempat kerja untuk kembali ke kampung serta tinggal bersama ibunya bagi membesarkan anak-anaknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN