fbpx

Fasa kedua FODDS dijangka siap akhir November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMASANGAN menara radar FODDS melibatkan kerjasama tiga pihak iaitu MAHB, Hitachi Kokusai Electric Co. Ltd. (HiKE) dari Jepun dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). - MAHB

SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini memasuki fasa kedua percubaan lapangan Sistem Pengesanan Serpihan Objek Asing (FODDS) berketepatan tinggi untuk meningkatkan keselamatan landasan penerbangan di lapangan terbang tersebut.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan akhbar berkata, fasa pertama projek itu dilancarkan pada 2019 melibatkan pemasangan dua menara radar FODDS hasil kerjasama tiga pihak termasuk Hitachi Kokusai Electric Co. Ltd. (HiKE) dari Jepun dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selain MAHB.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, fasa kedua itu melibatkan pemasangan penuh baki sembilan menara dengan radar berketepatan tinggi yang dijangka siap menjelang akhir November ini dan dijadual beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2022.

“Radar itu dapat mengesan sebarang serpihan objek asing (FOD) dalam jarak 500 meter dalam tempoh 10 saat menggunakan teknologi radio fiber terkini dan mampu mengesan FOD walaupun sekecil butir padi untuk mengelakkan kejadian atau kemalangan pesawat yang tidak diingini berlaku.

“Ciri FODDS yang lain ialah penggunaan kamera resolusi tinggi bagi merakam imej FOD yang jelas dan berkualiti selain membolehkan pengumpulan data masa nyata serta mempercepatkan operasi pengesanan dan pembersihan objek terlibat,” katanya.

Mohd. Shukrie berkata, KLIA sentiasa mengikuti perkembangan teknologi serta amalan terbaharu lapangan terbang global dalam usaha memperkukuh operasi keselamatannya.

Jelasnya, Peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menetapkan bahawa pemeriksaan landasan perlu dilakukan empat kali sehari, namun menerusi sistem FODDS, MAHB dapat melakukan pengesanan serta pengumpulan data dalam masa nyata sepanjang masa.

“Kami berbangga menjadi lapangan terbang pertama di dunia yang dilengkapi teknologi FODDS terbaharu dengan fungsi sepenuhnya selepas prototaip di Narita, Jepun. 

“Ini adalah contoh penerimaan pembangunan  teknologi selain bukti keupayaan lapangan terbang kami yang lebih bersedia mengendalikan permintaan masa depan apabila perjalanan udara kembali pulih,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI