fbpx

Cheetah sasar pendapatan tambahan RM25 juta setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cheetah Hol­dings Bhd. (Cheetah) menjangkakan untuk menjana pendapatan tambahan tahunan sebanyak RM25 juta selepas pelancaran laman webnya yang tampil dengan wajah baharu.

Laman web yang turut beroperasi sebagai kedai pakaian online syarikat tersebut dilihat mampu menampung lebih ramai pengguna dan berhasrat menarik segmen pengguna muda dalam pasaran bernilai RM16.4 bilion setahun itu.

Sebagai usaha mencapai sasaran tersebut, Cheetah menjalin kerjasama dengan penyedia per­khidmatan mudah alih XOX Bhd. (XOX) yang akan memperoleh akses kepada kira-kira 2.5 juta pelanggan sedia adanya menerusi aplikasi Black App XOX.

Pengarah Eksekutif Cheetah, Roy Ho Yew Kee berkata, langkah itu diambil sebagai strategi untuk bertahan dalam industri bagi jangka masa panjang.

“Bidang perniagaan sentiasa berkembang dan kami juga harus bergerak seiring. Sebelum ini, kami memasuki pasaran online dalam skala kecil sebagai percubaan.

“Namun ketika wabak me­landa, kami melihat keperluan meluaskan jaringan pasaran online supaya dapat terus bertahan memandangkan kunjungan di gedung fizikal hampir mencecah sifar pada masa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan  baru-baru ini.

Yew Kee berkata, pihaknya telah melatih semula kakitangan Cheetah untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran pemasaran digital.

Tambahnya, kerjasama de­ngan XOX tidak terhad kepada pasaran e-dagang syarikat tersebut tetapi Cheetah turut berminat meneroka perisian pengesanan TraX oleh XOX.

Menerusi perisian tersebut pengguna dapat mengesan rantaian bekalan, memastikan ke­telusan produk dan memastikan pengeluaran yang cekap mengikut peraturan yang ditetapkan.

Ketika ini, Cheetah mem­punyai 700 kaunter jualan dan dua gedung utama di seluruh negara dengan terdapat 20,000 pengedar dalam rangkaian mudah alih XOX.

Aplikasi Black App XOX yang akan membawa jenama Cheetah dengan konsep beli sekarang bayar kemudian sebagai sebahagian daripada perkembangan teknologi kewangan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan XOX, Ng Kok Heng menjelaskan, pihaknya secara konsisten sentiasa mencari lebih banyak produk untuk membantu peniaga yang bekerjasama dengan mereka agar meraih lebih banyak jualan.

“Kerjasama dengan Cheetah sejajar dengan komitmen kami untuk membawa produk pelanggan menembusi pasaran secara besar-besaran pada harga kompetitif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI