fbpx

SME Bank sedia pembiayaan RM300 juta kepada PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – SME Bank memperuntukkan sebanyak RM300 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersaiz kecil dan mikro melalui Skim Pem­biayaan Lestari Bumi.

Timbalan Menteri Pemba­ngunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, dana pembiayaan itu bertujuan untuk membantu golongan tersebut meningkatkan kapasiti pengeluaran, meluaskan akses pasaran dan menjadikan perniagaan mereka lebih mampan dan berdaya saing.

“Skim Pembiayaan Lestari Bumi ini hadir tepat pada masa­nya memandangkan usahawan mikro dan kecil negara sangat terkesan dengan impak pandemik Covid-19.

“Statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa 41,349 perniagaan yang terjejas dan tutup pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran skim pem­biayaan tersebut beserta menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan dengan tiga agensi kerajaan iaitu Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Turut hadir Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Mas Ermieyati menjelaskan, terdapat hampir dua juta perniagaan kecil dan informal dari seluruh negara yang belum lagi mendaftarkan perniagaan mereka serta lebih 92 peratus usahawan memerlukan bantuan kewangan bagi menceburi perniagaan baharu.

“Saya menyeru agar mereka mendaftarkan perniagaan mereka dengan pihak yang berwajib demi memastikan kehadiran mereka dapat dilihat oleh kerajaan dan seterusnya bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan seperti SME Bank,” terang beliau.

Selain itu, Aria Putera menjelaskan, melalui Skim Pem­biayaan Lestari Bumi, usahawan boleh memohon pembiayaan bagi modal kerja dan pembelian aset dengan jumlah pembiayaan bermula dari RM100,000 hingga RM750,000.

Menurut beliau, dana ini semestinya akan membolehkan ­usahawan mikro dan kecil ini meningkatkan perniagaan mereka kepada tahap yang lebih tinggi.

Melalui pembiayaan ini, usahawan akan menerima bantuan yang lebih berstruktur mengikut keperluan perniagaan mereka serta mendapat akses kepada program latihan dan bimbingan yang lebih efektif serta tersusun melalui Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR).

CEDAR adalah anak syarikat milik penuh SME Bank.

“Melalui kerjasama ini, SME Bank dan rakan strategik akan dapat mengenal pasti bantuan dalam bentuk pembiayaan dan latihan keusahawanan bagi kumpulan sasar agar setiap ka­tegori usahawan tidak ketinggalan dalam menerima bantuan yang secukupnya,” terang beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI