fbpx
LIL NAS X

Kontroversi Illuminati, Lil Nas X si pemuja syaitan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIL Nas X. Sepotong nama glamor yang merupakan pemegang rekod lagu paling lama bertahan di takhta nombor satu carta lagu paling popular dunia, Billboard Hot 100 menerusi single Old Town Road. Lagu bernuansa ‘country rap’ tersebut menghuni posisi nombor satu selama 19 minggu. Satu rekod luar biasa.

Bagaimanapun, semua itu cerita dua tahun sudah kerana selepas itu, ramai yang hanya menyifatkannya hanya sekadar ‘one hit wonder’ apabila beberapa siri karyanya seperti Panini dan Rodeo gagal, terkandas untuk mengulangi kejayaan sama.

MEMBUKTIKAN dirinya bukan sekadar ‘one hit wonder’, Lil Nas X kini memiliki dua single nombor satu dan sudah menggenggam dua buah trofi anugerah berprestij Grammy.

Sehinggalah baru-baru ini, umpama magik, namanya kembali menjadi bualan ramai apabila menghadirkan single terbaharu berjudul Montero (Call Me by Your Name) yang bukan sahaja melahirkan kejayaan luar biasa, tidak kurang, mencetuskan kontroversi yang membuatkan ramai mengerut kening.

Puja syaitan

Ya, lagu tersebut berjaya debut di tangga pertama Billboard Hot 100 sekali gus seperti menjadi ‘ulang siar’ untuk karya Old Town Road. Pun begitu, turut hinggap bersama adalah cerita-cerita kurang sedap didengari. Antaranya, Lil Nas, 21, merupakan seorang pemuja syaitan yang kerjayanya dinaungi organisasi rahsia bernama Illuminati.

Wujud teori konspirasi mengatakan mereka yang tergolong dalam Illuminati dianggap sebagai penyembah syaitan dan berkait dengan gerakan Freemasonry. Golongan tersebut melakukan ritual pemujaan kepada The Great Architect yang dilambangkan sebagai ‘The Wholeseeing-Eye’ (diambil dari legenda Mesir) yang merupakan simbol Lucifer (Syaitan).

SELEPAS dua tahun pernah memegang rekod karya paling lama bertahan dalam carta Billboard Hot 100 untuk Old Town Road, Lil Nas X kembali mengulang kejayaan sama menerusi lagu Montero.

Pemilik nama sebenar Montero Lamar Hill itu dikatakan mengikut jejak langkah selebriti popular lain yang acap kali dikaitkan dengan gerakan tersebut demi mengecap kemahsyuran seperti Beyonce, Lady Gaga, Rihanna dan Katy Perry.

Semuanya gara-gara apa yang divisualkan Lil Nas menerusi video muzik Montero. Dalam video berdurasi lebih tiga minit berkenaan, dia melakukan perkara yang tidak dijangka ramai. Menari tiang, berpenampilan feminin, duduk di atas riba entiti yang menyerupai syaitan dan banyak perlambangan berkait dengan Illuminati.

Penyanyi itu dalam temu bual bersama Time Magazine mendedahkan bahawa video muzik lagunya tidak hanya mencetuskan kontroversi tetapi membuatkan orang ramai mengambil sedikit masa untuk sejenak berfikir.

DALAM video muzik Montero, Lil Nas X tampil berani beraksi liar termasuk berpenampilan separuh bogel menari tiang dan ‘berkasih’ dengan satu entiti yang dipercayai syaitan.

“Saya membesar dalam budaya yang amat mementingkan kehidupan beragama. Perihal tersebut dibudayakan dengan rasa takut untuk tidak terlibat dalam melakukan kesalahan.

“Sewaktu kecil, saya takut dengan setiap kesilapan yang mungkin pernah atau langsung tidak pernah dilakukan. Saya cuma mahu mereka (kanak-kanak) jujur dengan diri sendiri. Adalah satu perkara normal jika kita melakukan kesilapan dan mereka tidak perlu untuk membenci diri sendiri,” kata lelaki kelahiran Georgia, Amerika Syarikat itu.

Bergaduh dengan gabenor

Tambah Lil Nas, dia memang sengaja meluncurkan video muzik ‘liar’ supaya penonton ada sesuatu untuk diperdebatkan pada waktu sekarang.

“Saya rasa sekarang kita berada pada waktu semua muzik bersifat baik. Tidak banyak yang bersifat inovatif dan berjaya mencetuskan perbualan seperti dahulu.

“Saya mahu jadi pusat perhatian daripada perbualan yang tercetus dan mengaplikasikannya dalam situasi saya serta orang ramai yang saya kenali dalam kehidupan ini,” tuturnya.

MASIH muda, Lil Nas sering hadir dengan ciapan-ciapan mencuit hati dalam Twitter, namun tidak menghiraukan pendapat dan emosi orang lain.

Menjawab persoalan perihal ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan kandungan video muzik Montero, Lil Nas tidak mahu ambil pusing kerana baginya, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa andai mereka menganggap karya-karyanya tidak sesuai untuk tontonan golongan kanak-kanak.

“Saya seorang lelaki dewasa. Saya tidak akan menghabiskan masa perjalanan kerjaya saya dengan buat muzik untuk anak-anak anda.

“Semua itu tugas anda sebagai ibu bapa. Saya tidak buat muzik untuk golongan seperti itu, saya sudah dewasa,” katanya.

Lil Nas sempat bertegang urat dengan Gabenor South Dakota iaitu Kristi Noem yang melahirkan keprihatinannya apabila penyanyi itu muncul menggayakan sepasang kasut edisi terhad yang dipromosikan dalam video muziknya.

LIL Nas membuktikan dia bukan seorang artis ‘one hit wonder’ apabila sekali lagi meroket dengan karya baharu yang turut mengungguli carta muzik tersohor dunia.

Kasut ‘satanic’ tersebut merupakan kolaborasi Lil Nas dengan peniaga kecil berpangkalan di New York, MSCHF.

“Anak-anak kita diberitahu yang produk ini bukan sahaja okey tetapi eksklusif. Tetapi apa yang lebih eksklusif adalah jiwa nurani pemberian Tuhan,” ciap Kristi menerusi Twitternya.

Lil Nas kemudian membalas ciapan tersebut dengan hantaran bersahaja berbunyi: “Anda merupakan seorang gabenor dan anda berada di sini sekarang menciap tentang sepasang kasut? Buat kerja anda sebagai seorang gabenor!”

MESKI kontroversi sedang melingkari namanya ketika ini, namun Lil Nas X masih ampuh berdiri atas paksi sensasi muzik yang diperjuangkannya.

Ketika lagu Montero menjadi karya nombor satu di Amerika Syarikat sekarang, Lil Nas menitipkan pesanan dalam Twitter berbunyi: “Anda pernah cakap, remaja 19 tahun yang berdepan fasa paling bawah dalam hidupnya ini tidak akan ada lagi lagu hit.

“Anda mintanya berhenti sedangkan dia terus bergerak. Waktu itu dia mungkin sudah mengalah. Empat lagu berstatus platinum dan sekarang dua lagu nombor satu, dia masih di sini. Terima kasih, saya sayang pasukan dan semua peminat saya.”