fbpx

Neelofa, suami sudah beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar gambar memaparkan pasangan itu yang didakwa berbulan madu di Pulau Langkawi sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

PETALING JAYA – Polis mengesahkan selebriti popular, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, dengan pasangan Haris Ismail, 26, sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pasangan suami isteri itu hadir di IPD sekitar pukul 6 petang.

“Rakaman percakapan terhadap kedua-duanya berlangsung kira-kira sejam, mereka dibenarkan pulang sebaik Pegawai Penyiasat (IO) berpuas hati dengan keterangan yang diberi,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelasnya, pasangan berkenaan hadir bagi membantu siasatan berkenaan dua kes, pertama melibatkan dakwaan mereka menyalahgunakan borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk merentas negeri bagi tujuan berbulan madu di Pulau Langkawi.

“Keduanya, berkenaan majlis pernikahan mereka di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi melengkapkan kertas siasatan, beberapa orang lagi saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan.

Terdahulu, tular sekeping gambar di majlis pernikahannya di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu yang didakwa tidak mematuhi SOP.

Tidak lama kemudiannya, tular lagi beberapa keping gambar memaparkan selebriti itu dan suami berada di Langkawi hingga menimbulkan pelbagai persepsi, termasuk dakwaan merentas negeri untuk berbulan madu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasangan terbabit akan dikompaun jika siasatan polis mendapati kunjungan mereka ke Langkawi melanggar SOP PKPB. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI